Berita

Skandal Taman Rimba Kiara: DAP lapor Tengku Adnan kepada SPRM

Kontroversi projek pembangunan melibatkan Taman Rimba Kiara semakin memuncak apabila Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor pada Isnin lalu mendakwa wujudnya kumpulan penduduk mengugut dan meminta wang pampasan daripada pihak pemaju.

Sehubungan itu, pada 18 Disember lalu, beliau telah meminta pemaju untuk melaporkan perkara itu kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimana pun, selepas 48 jam berlalu, tiada sebarang laporan dibuat oleh pihak pemaju kepada pihak berkuasa berkenaan.

Ekoran itu, Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng hari ini telah membuat laporan kepada SPRM menggesa agar dakwaan menteri itu disiasat.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu berkata, kes melibatkan ugutan merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang.

“Ini suatu tuduhan jenayah yang serius. Saya ingatkan ia hanya berlaku di kalangan yakuza di Jepun sahaja,” kata beliau.

Beliau mahu supaya SPRM segera menjalankan siasatan terhadap Adnan dan mana-mana pihak yang berkait rapat dengan dakwaan tersebut.

“Kita nak tahu siapa yang diugut, siapa yang dimaksudkannya dan siapa pula yang buat ugutan.

“Beliau (Adnan) hanya membuat dakwaan tanpa beritahu siapa yang jadi mangsa yang mengugut,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Dakwaan Adnan tersebut turut mendapat kecaman persatuan-persatuan penduduk yang menggesa menteri itu membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan kononnya mereka memeras ugut pihak pemaju.

Persatuan penduduk juga dilaporkan telah membuat laporan kepada SPRM semalam bagi menyiasat segala kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam 13 projek yang bakal dilaksanakan.

Mereka mendakwa dakwaan Adnan itu tidak mempunyai asas serta menyamakannya sebagai intimidasi dan fitnah kepada penduduk yang menentang pembangunan berlebihan di kawasan mereka. – Roketkini.com