Berita

Kenyataan Nik Amar lengahkan pembangunan Kelantan hanya tutup kegagalan tadbir urus

Seorang anak jati Kelantan melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah berhubung pembangunan fizikal di negeri itu.

Nik Amar dilaporkan portal Malaysiakini mengakui aktiviti pembangunan fizikal di Kelantan lembab, tetapi menjelaskan bahawa ia sengaja dilambatkan.

Beliau berhujah: “Memang kita akui pembangunan fizikal negeri kita lambat. Kita sengaja melambatkan supaya kita nak pastikan pembangunan ini dapat dinikmati rakyat.”

Naib Presiden PAS itu tanpa segan silu memberi contoh Langkawi, Kedah yang menurutnya membangun pesat tetapi rakyatnya terpaksa “pindah dan lari”.

“Kerajaan PAS Kelantan lupa pada hakikat disebabkan pembangunan yang perlahan, mereka turut gagal menyediakan peluang pekerjaan.

“Akhirnya ramai rakyat Kelantan, termasuk saya sendiri terpaksa berhijrah keluar daripada Kelantan untuk mencari rezeki,” ujar Ahmad Irfan Hani, Ahli Majlis Perbandaran Selayang yang juga seorang anggota muda DAP.

Bagi Irfan, kenyataan Nik Amar itu hanyalah sekadar alasan untuk menutup kelemahan tadbir urus kerajaan negeri.

“Hutan semakin botak, duit habis diratah, pembangunan tetap tak nampak.

“Sebagai anak Kelantan yang turut terpaksa berhijrah keluar dari Kelantan, kenyataan Nik Amar itu cukup menyakitkan hati,” ujarnya kesal.

Beliau turut mengingatkan Nik Amar bahawa kemenangan PAS di Kelantan adalah atas faktor pengundi yang tinggal di luar negeri itu.

“Rakyat Kelantan yang masih berada di Kelantan sendiri tentu sudah lelah dengan kerajaan yang langsung tidak ambil peduli tentang kebajikan mereka.

“Pilhan raya umum ke -14 (PRU-14) akan datang, saya menjangkakan rakyat Kelantan akan bangkit dan melontarkan mesej kepada PAS bahawa jika mereka pembangunan perlahan, maka semua pemimpin yang di atas akan diturunkan dengan pantas,” tegas alumni Sekolah Demokrasi itu.

Beliau turut mengulas kenyataan Nik Amar yang tidak mahu kerajaan negeri Kelantan setanding Selangor kerana bimbang rakyatnya ketinggalan.

“Seiring dengan pembangunan pesat Selangor, rakyat Selangor menikmati pelbagai manfaat melalui skim-skim dan inisiatif-inisiatif. Yang kini dipanggil Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Terbaru, kerajaan negeri Selangor melancarkan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang membantu kaum ibu berpendapatan rendah, yang mana penerima akan memperoleh bantuan kewangan bagi pembelian keperluan asas.

“Manfaat yang dinikmati rakyat Selangor bermula dari baru lahir sehinggalah mencapai usia emas,” ujarnya. – Roketkini.com