Berita

Peruntukan projek bekalan air ada tapi kerja tak siap. Apa kerajaan BN Sabah buat?

Masalah bekalan air di Sabah bukan sahaja membelenggu kampung-kampung di daerah pedalaman tetapi juga turut berlaku di beberapa kampung di kawasan yang berhampiran dengan bandaraya Kota Kinabalu.

Antara kawasan tersebut termasuklah di Kampung Pulutan yang terletak di Daerah Manggatal yang sehingga kini penduduk terpaksa bergantung dengan sistem air graviti yang diselenggara sendiri. Nasib yang sama turut melanda daerah berhampiran seperti di Telipok dan Inanam.

Lebih banyak persoalan timbul terhadap urustadbir Kerajaan Sabah yang dikuasai UMNO-Barisan Nasional (BN) meskipun menerima peruntukan besar di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Timbalan Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt

Timbalan Setiausaha DAP Sabah, Tan Lee Fatt berkata, berdasarkan laporan Jawatankuasa Kira-kira wang Negara (PAC), sejumlah kira-kira RM2 bilion peruntukan disalurkan kepada kerajaan Sabah bagi program tersebut, namun, hasilnya amat mengecewakan.

“Sudah cukup jelas bahawa BN tidak lagi boleh diharap untuk membantu rakyat walaupun hanya menyediakan kemudahan asas seperti air.

“Saya perlu memberitahu dan mengingatkan rakyat tentang penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat oleh BN.

“Di samping itu juga, saya juga mengambil peluang ini untuk mendalami masalah rakyat dan cara untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan lebih berkesan apabila DAP dan Pakatan Harapan memegang tampuk pimpinan selepas PRU-14 nanti,” katanya kepada media.

Menurut Penyelaras DAP Sepanggar itu, masalah bekalan air yang dihadapi rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat perhatian DAP melalui banyak projek sistem air graviti.

“Impian Sabah telah pun membelanjakan lebih RM1 juta bagi membina sistem agihan air graviti di beberapa kawasan pedalaman,” kata Tan.

Pada 24 hingga 26 November yang lalu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bersama kepimpinan DAP Sabah telah merasmikan projek Sistem Agihan Air graviti di kampung Pangkas Ulu Keningau, Kampung Magatang Transpegalan, Kampung Molosok di Sook dan Kampung Kelanaan, Melalap.

“Jelas walaupun DAP hanya pembangkang di Sabah. Kita masih dapat membantu rakyat,” katanya lagi.

Katanya, rakyat akan terus menjadi mangsa sekiranya kerajaan tidak serius membanteras segala penyelewengan dan ketirisan yang berlaku. – Roketkini.com

Kredit foro: Impian Malaysia