Rencana

Utamakan kesihatan mental pada tahun baru 2018

Musim perayaan akhir tahun tengah berlangsung dengan meriahnya. Bagi pesakit mental, musim perayaan kadang kala kurang dialu-alukan. Kesibukan bersiap-sedia untuk beraya, perbelanjaan yang ditanggung, dan tugas melayan kerenah para tetamu boleh memberi tekanan kepada pesakit mental. Bayangkan tekanan yang menyerang, apabila si pesakit mahu tidak mahu kena sentiasa berwajah riang.

Tahun 2017 merupakan tahun yang menggalakkan untuk advokasi kesihatan mental. Topik kesihatan mental muncul dengan lebih kerap dalam berita. Rakyat Malaysia semakin berani untuk berkongsi pengalaman mereka dengan penyakit mental – misalnya, melalui kempen “hashtag” “I’m Not Ashamed” (Saya Tidak Malu) anjuran sebuah NGO kesihatan mental bernama Relate Malaysia.

Namun begitu, hasil kajian Penang Institute menunjukkan bahawa walaupun kesihatan mental rakyat Malaysia kian merundum, bilangan pakar kesihatan mental, terutamanya dalam perkhidmatan awam, jauh tidak mencukupi.

Kesenangan mendapatkan bantuan perubatan juga menjadi masalah. Kawasan pedalaman kurang mendapat bantuan kesihatan mental berbanding dengan kawasan bandar. Di bandar, kebanyakan program kesihatan mental dianjurkan dalam bahasa Inggeris. Mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris tidak dapat menikmati manfaat program-program tersebut.

Usah sembang, bertindak sekarang

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat ketinggalan dalam menangani isu kesihatan mental. Pada tahun lepas, KKM mengumumkan pembentukan satu Pelan Tindakan Strategik Kesihatan mental kebangsaan untuk tempoh 5 tahun yang akan datang (2016-2020). Tinggal beberapa hari lagi sebelum kita bakal melangkah ke tahun 2018; namun pelan itu tidak muncul-muncul lagi.

Dalam Pelan Strategik KKM 2016 – 2020 pula, kesihatan mental disebut sekali sahaja pada muka surat 24. Ia langsung tidak disebut dalam Pelan Tindakan KKM bagi tempoh masa yang sama.

Semasa pembahasan Bajet 2018, Menteri Belia dan Sukan YB Khairy Jamaluddin juga menyebut mengenai isu kesihatan mental belia tetapi kurang memberi jalan penyelesaian.

Menambah-baik undang-undang

Akta utama berkenaan kesihatan mental ialah Akta Kesihatan Mental 2001. Namun, akta ini lebih fokus kepada pengamal perubatan berbanding dengan pesakit.

Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, telah mencadangkan supaya soal kesihatan mental di tempat kerja ditangani melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (yang tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994). Ini untuk mencegah diskriminasi terhadap pekerja yang menghadapi penyakit mental.

Walaupun saya bersetuju dengan matlamat beliau, risikonya tinggi sekiranya kesihatan mental pekerja dibincangkan di pejabat tanpa mengambil kira stigma masyarakat terhadap penyakit mental dan ketiadaan perlindungan privasi pesakit.

Undang-undang anti-diskriminasi perlu digubal. Tidak ada gunanya jika perbincangan tentang kesihatan mental yang diadakan di pejabat digunakan untuk mendiskriminasikan calon yang hadir temu duga, mengetepikan pesakit mental daripada peluang naik pangkat atau memecat mereka.

Menurut Akta Orang Kurang Upaya 2008, orang kurang upaya (OKU) termasuk mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang mental. Untuk mendapatkan perlindungan dan hak di bawah Akta tersebut, pesakit mental yang telah menjalani rawatan psikiatri selama 2 tahun boleh mendaftar untuk dapatkan Kad OKU. Namun, ini bermakna seseorang yang telah menjalani rawatan untuk gangguan bipolar selama 1 tahun masih terdedah kepada tindakan diskriminasi.

Tidak mudah untuk menyelaraskan perkara-perkara anti-diskriminasi dengan ketiga-tiga Akta di atas. Namun, antara perkara yang amat penting dalam satu undang-undang anti-diskriminasi adalah membuang permintaan untuk mendedahkan sejarah psikiatri semasa temu duga, jalan pembelaan pesakit, dan fleksibiliti masa supaya pekerja dapat menghadiri temu janji psikiatri.

Dalam rang undang-undang (RUU) kesihatan mental yang baru diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat Filipina, hak pesakit mental memang diutamakan. Seksyen 2 “menjamin hak asasi semua rakyat Filipina kepada kesihatan mental serta hak asasi rakyat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan mental.” Seksyen 19 dan 25 menggariskan tanggungjawab majikan, Jabatan Tenaga Kerja dan Pekerjaan, dan juga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dalam perkara ini.

Satu lagi poin yang menarik dalam RUU itu ialah penyediaan perkhidmatan kesihatan mental untuk penagih dadah.

Di UK, Akta Diskriminasi Kesihatan Mental (2013) telah memansuhkan sekatan yang dahulunya tidak membenarkan mereka yang pernah mengalami isu kesihatan mental berkhidmat sebagai juri atau pengarah syarikat. Ahli Parlimen yang pernah dimasukkan ke dalam hospital psikiatri kini tidak perlu meletak jawatan. Mesejnya jelas: penyakit mental tidak menghalang diri daripada menyumbang kepada masyarakat.

Membina rakyat yang kuat di bawah kerajaan baru

Tahun ini, saya telah menganjurkan 2 bengkel kesihatan mental bersama Relate Malaysia. Yang pertama dinamakan “Depression: Let’s Talk”, sempena kempen Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO). Matlamat kami: menyumbang kepada usaha melawan stigma terhadap pesakit kemurungan dan penyakit mental secara keseluruhannya.

Pada pagi itu, kami telah menyusun kira-kira 180 buah kerusi dalam Dewan Ilmu Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Sejujurnya, saya kurang yakin program tersebut akan mendapat sambutan orang ramai. Adakah rakyat Malaysia akan berminat untuk menghadiri satu bengkel tentang penyakit kemurungan? Ekoran itu, kami pun mengeluarkan 30 buah kerusi.

Namun, kami telah silap. Kehadiran pada pagi program tersebut cukup menggalakkan. Kerusi-kerusi yang dikeluarkan dari dewan, dimasukkan balik. Para hadirin yang terdiri daripada penjaga, orang awam yang ingin menimba ilmu, dan pesakit-pesakit sendiri mempunyai banyak soalan dan cerita untuk dikongsi bersama. Lebih penting, bengkel ini dapat memberikan sinar harapan kepada hadirin supaya tidak terasa diri mereka dipulaukan.

Sesi kedua kami dinamakan “Self-Care for Caregivers”. Menjaga pesakit mental ialah satu dugaan, meskipun pada asalnya kita mempunyai niat yang murni . Di Malaysia, stigma memaksa ahli keluarga pesakit untuk berdiam diri lalu gagal mendapat sokongan atau bantuan sewajarnya. Mereka khuatir dipinggirkan atau dihina oleh komuniti. Fokus kami adalah mengajar penjaga beberapa kemahiran agar mampu menangani stres dan menghadapi krisis dalam penjagaan seorang pesakit mental.

Kita boleh membina banyak MRT dan menganjurkan pameran besar-besaran supaya rakyat rasa #KitaOK. Kita juga boleh berceramah berpanjangan tentang peluang pekerjaan dan keadaan ekonomi.

Hakikatnya, membina sebuah negara tidak hanya terhad kepada pembinaan infrastruktur. Jika kita ingin menjadi sebuah negara yang kuat, kita mesti membangunkan warganegara yang kuat. Kekuatan itu tidak bermakna bahawa kita perlu sentiasa bertabah semasa mengalami dugaan. Ia juga bermakna kita cukup berani untuk mendapatkan bantuan, termasuk bantuan kesihatan mental. Ketika arus pembangunan abad ke-21 terus memecut tanpa garis hujung, polisi kerajaan baru dalam menyediakan bantuan tersebut akan mendatangkan manfaat jangka panjang.

*Lim Yi Wei ialah setiausaha politik kepada Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara. Dia juga merupakan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).