Berita

Memartabat semangat Perjanjian Malaysia 1963 melalui perubahan politik

Salah satu senjata politik yang masih kekal relevan setiap kali menjelang pilihan raya di Sabah ialah mengenai jaminan hak kepada wilayah Borneo itu sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Agenda Borneosasi dan MA63 terus menjadi modal taruhan parti-parti politik di Sabah memandangkan wujudnya ketempangan dalam pelaksanaan 20 perkara tersebut – termasuklah sumpah Kerajaan Persekutuan yang terpahat di Batu Sumpah Keningau pada 1964 – yang samar-samar tidak diendahkan.

Jadi, bukan sesuatu yang aneh apabila isu yang diperjuang lebih 40 tahun itu didendang parti-parti politik Sabah termasuk UMNO – meski pun Kerajaan Persekutuan yang dikepalai UMNO jugalah yang menjadi punca wilayah Borneo itu hilang taring autonomi, termasuk hak royalti ke atas petroleum wilayah ini.

Perjuangan MA63 juga lantang diperjuangkan oleh parti-parti pembangkang Sabah yang lain termasuk WARISAN, STAR, Parti Anak Negeri, PCS, Harapan Baru begitu juga oleh gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Persoalannya, siapakah yang benar-benar komited memperjuangkan MA63 dan mampukah ia dimartabatkan dengan regim UMNO sedia ada?

Jawapannya tentu sekali: “Tidak”.

Merungkai persoalan ini, Timbalan Pengerusi HARAPAN Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata segala jaminan dan prinsip dalam MA63 hanya boleh dimartabatkan melalui kesungguhan politik yang dipelopori oleh parti yang benar-benar konsisten dan memiliki rekod yang baik.

Katanya, perubahan hanya akan berlaku sekiranya rakyat Sabah dan Malaysia amnya berani melakukan perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Untuk merealisasikan hasrat itu, parti-parti pembangkang di Sabah digesa supaya bersatu menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

“Jika tiada perubahan dalam pilihan raya di peringkat Persekutuan, Sabah tidak akan memperoleh apa yang selayaknya.

“Tiada gunanya parti-parti lain menabur janji palsu ini sekiranya gagal menjalinkan kerjasama dengan HARAPAN,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.

Tegasnya, HARAPAN memiliki rekod cemerlang di Pulau Pinang dan Selangor apabila berjaya menjadi kerajaan yang diurus tadbir dengan baik.

Hasil urus tadbir cemerlang itu, rakyat di kedua negeri tersebut mampu menerima pelbagai manfaat kebajikan, ekonomi, kesihatan dan sebagainya selain tidak lupa memberi keutamaan kepada golongan yang memerlukan khususnya kumpulan minoriti yang tercicir.

Stephen berkata demikian dalam ucapannya di Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan Sabah (fasa 2) di Keningau baru-baru ini.

“Hanya melalui kerajaan yang baik mampu menyatukan rakyat Malaysia dan melakar perubahan yang sebenar,” katanya lagi.

Pelancaran manifesto HARAPAN fasa dua itu menawarkan lima tawaran Pembangunan Luar Bandar Dan Orang Asal Sabah yang akan dilaksanakan dalam satu penggal sekiranya mendapat mandat rakyat pada PRU14.

Ia merangkumi; pembangunan kesihatan luar bandar, pembangunan infrastruktur asas yang berkualiti, hormat tanah hak adat dan mengkaji semula skim penerokaan dan pembangunan mampan dan peluang pekerjaan.

Dalam pra pelancaran manifesto HARAPAN Sabah dan Sarawak September lalu, HARAPAN menegaskan bahawa agenda Borneosasi akan terus menjadi keutamaan melalui pulangan hasil dan pengukuhan autonomi dengan penambahan bidang kuasa pentadbiran kepada dua wilayah itu.

PRU14 yang akan diumumkan pada bila-bila masa sahaja bakal memperlihatkan sejauh mana parti-parti pembangkang di Sabah sama ada parti tempatan mahu pun peringkat kebangsaan bermuafakat menumbangkan regim UMNO yang selama ini mendominasi pentadbiran dan kekayaan negeri.

Hanya masa yang menentukan, sejauh mana rakyat Negeri Di Bawah Bayu ini benar-benar mahu melakar perubahan dalam pilihan raya umum akan datang atau terus kekal bersama UMNO. – Roketkini.com