Berita

Negeri BN pun tambak laut, kenapa Kerajaan Pusat tak bising?

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan sikap dwi-standard kerajaan berhubung projek tambakan laut di negara ini.

Menurutnya, bantahan kerajaan terhadap projek tambakan laut di Pulau Mutiara itu hanyalah serangan bersifat politik menjelang pilihan raya.

“(Kerajaan) membenarkan penambakan laut di Kedah dan Johor tetapi tidak di Pulau Pinang.

“Ini semua semacam serangan politik untuk kempen pilihan raya,” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP dipetik Buletin Mutiara.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung projek tambakan laut di Pulau Pinang.

“Projek ini ada banyak implikasi, bukan sahaja kepada sumber marin dan kehidupan nelayan,” kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar itu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, beliau akan mendedahkan rekod projek tambakan laut negeri lain selain Pulau Pinang yang dibenarkan kerajaan.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy turut berkongsi nada serupa dengan Guan Eng berhubung kenyataan Wan Junaidi.

“Junaidi tak patut buang masa untuk keluarkan kenyataan berat sebelah tentang projek di Pulau Pinang. Apatah lagi pilihan raya umum hanya beberapa bulan sahaja lagi.

“Saya yakin itu hanyalah gimik pilihan raya untuk mengekalkan kerusi parlimen dan kerusi-kerusi dewan undangan negeri di Balik Pulau,” katanya. – Roketkini.com