Berita

Anggota tentera berkhidmat demi kedaulatan negara, bukan alat politik UMNO

UMNO diberi ingatan supaya tidak memperalat dan menyusahkan anggota tentera demi menyelamatkan kepentingan politiknya ekoran isu pemindahan pengundi di dua kem tentera di Johor.

Menurut Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor, tindakan tersebut dilihat sebagai mempergunakan undi anggota tentera demi survival BN yang hanya akan memburukkan lagi nama baik Malaysia.

Lebih-lebih lagi apabila salah satu kem tentera itu terletak di dalam kawasan Parlimen Semberong yang disandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Pakatan Harapan memandang isu berkaitan pembinaan kem tentera baru khususnya di Johor sebagai langkah terdesak Barisan Nasional (BN) menjelang PRU-14.

“Ia merupakan taktik kotor yang bakal digunapakai dengan cara menyumbat masuk sejumlah bilangan yang signifikan dari kalangan pengundi tentera yang dipindahkan dari beberapa buah kem sedia ada,” kata Pakatan Harapan (HARAPAN) Johor dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan digesa menafikan perpindahan tersebut.

“Kami mengingatkan Hisham agar tidak menyusahkan serta memperalatkan anggota tentera.

“Mereka berjuang untuk menjaga keselamatan serta kedaulatan negara, bukan menjadi perkakas untuk menyelamatkan BN!” kata HARAPAN Johor yang turut mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya adil dan tidak menjadi lembu dicucuk hidung bagi kepentingan kuasa partisan.

Berdasarkan sumber dalaman HARAPAN Johor, tidak wujud arahan pergerakan pemindahan anggota tentera sebelum dari 1 Jun 2017.

Bagaimanapun, pasukan tentera kata mereka disarankan membuat persiapan awal dengan mengadakan mesyuarat bagi mengkoordinasi keperluan rancangan perpindahan ke penempatan baru serta keperluan logistik untuk perpindahan seperti kontena, kotak untuk pembungkusan dan sebagainya.

Berdasarkan Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ke-3/2017, nama 1051 anggota tentera yang dipertikaikan sebelum ini telah pun tersenarai.

“Kami cukup yakin Kerajaan pimpinan BN menerusi SPR sedang berusaha memasukkan senarai nama anggota tentera ke Kem Paloh serta kem-kem baru yang lain untuk survival mereka,” kata mereka.

Pada 6 Disember lalu, pendengaran bantahan telah pun dibuat terhadap proses kemasukan 1051 anggota tentera berserta pasangan ke ‘kem belum siap’ di Segamat namun bantahan tersebut telah gagal bagaimana pun peguam mewakili pemohon telah memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan pendengaran tersebut.

Kem Paloh pula akan melibatkan perpindahan masuk 8 Skn RAJD dan 33 RAD dari Kem Mahkota Kluang dipercayai akan dibina bertujuan untuk menambah majoriti kemenangan calon BN khususnya di DUN N30 Paloh. – Roketkini.com

Kredit foto: AFP PHOTO / MOHD RASFAN