Rencana

Merentas dunia baharu

Teknologi adalah faktor yang paling berpengaruh dalam menentukan bagaimana kita hidup, bekerja dan berkomunikasi. Hal ini lebih ketara dalam tempoh 300 tahun yang lalu, sejak kejayaan teknologi seperti kereta api dan telegraf elektrik menghasilkan perubahan yang dramatik dan berlanjutan tentang bagaimana kita berinteraksi dengan dunia.

Hari ini, dengan adanya komputer dan internet, serta pertemuan kedua-duanya dalam bentuk telefon pintar, setidaknya kita boleh mengatakan bahawa kita sedang menyaksikan revolusi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari segi skala, skop dan kerumitan.

Secara sejarahnya, Revolusi Perindustrian Pertama bermula pada pertengahan abad kelapan belas. Inovasi dan teknologi baru seperti kuasa stim mencetuskan peralihan daripada pengeluaran manual kepada mekanisasi, sekaligus menjadi pemangkin perindustrian pesat dan pertumbuhan ekonomi.

Satu abad kemudian, Revolusi Perindustrian Kedua berlaku apabila elektrifikasi dan pembangunan proses perkilangan moden membolehkan pengeluaran secara besar-besaran. Pada akhir 1970-an, kita mula mengalami apa yang dikatakan oleh beberapa sarjana sebagai revolusi ketiga, yang muncul melalui kemajuan eksponen dalam teknologi maklumat dan telekomunikasi yang kemudian memperlihatkan peralihan daripada peranti elektronik dan mekanik yang bersifat analog kepada automasi dan teknologi digital.

Hari ini, kita berdiri di ambang Revolusi Perindustrian Keempat – zaman yang akan melihat sintesis semua perkembangan teknologi, sama ada dalam bidang genetik, kecerdasan buatan, robotik, nanoteknologi, percetakan 3D atau bioteknologi. Di dunia baru ini, tidak akan ada garis yang membahagikan antara fizikal, digital dan biologi.

Dunia baharu

Kita sudahpun merasai permulaan dunia baharu ini. Berjuta-juta orang kini dihubungkan dengan peranti mudah alih yang kini juga membolehkan akses segera dan tidak terhad kepada dunia pengetahuan melalui internet. Sistem pintar yang mengawal rumah, kilang, ladang dan juga bandar raya seluruh dunia membantu menyelesaikan semua isu – daripada pengurusan rantaian bekalan kepada perubahan iklim.

Kemunculan ekonomi perkongsian (shared economy) telah membolehkan penghasilan keuntungan daripada apa-apa sahaja dan segala-galanya, daripada perkhidmatan peribadi kepada pengurusan rumah dan kenderaan persendirian. Kenderaan kawalan kendiri sudah ada di jalan raya kita, dan kita boleh membayangkan kemungkinan-kemungkinannya jika skala sedia ada ini diperluaskan. Sementara itu, percetakan 3D dan penurunan kos pembuatan berdasarkan tempahan (customised manufacturing) sudah pasti akan mengubah makna perkataan “kilang”. Contoh-contoh ini hanyalah sebahagian kecil sahaja – gangguan (disruption) yang lebih besar akan berlaku kerana teknologi akan terus berkembang dengan pesat.

Sementara revolusi perindustrian sebelum ini menghasilkan perubahan kepada kaedah dan proses pengeluaran, revolusi keempat pula akan melampaui hal ini dan memberi impak kepada setiap sektor daripada pengeluaran kepada pengurusan hinggalah tadbir urus kerajaan. Sebenarnya, revolusi ini akan mencabar idea-idea mengenai kehidupan, realiti dan sifat kemanusiaan sendiri.

Tidak sukar untuk membayangkan masa depan yang tidak begitu jauh di mana mesin bukan sahaja mempunyai kecerdasan tetapi juga kesedaran. Kini pencerobohan teknologi dalam kehidupan kita telah sedia meruncing sehingga semakin sulit untuk meletakkan garis jelas antara dunia peribadi dan awam. Sudah tentu soalan-soalan eksistensial ini bukanlah sesuatu yang baru, namun sebelum ini soalan-soalan ini hanyalah latihan retorik manakala tidak lama lagi soalan-soalan ini akan menjadi tuntutan praktikal.

Talentism ialah kapitalisme yang baharu

Ketepikan huraian falsafah, mungkin lebih penting untuk mempertimbangkan bahawa revolusi komprehensif ini juga akan menjadikan andaian sedia ada tidak lagi relevan. Sebagai contoh, hubungan antara modal, buruh dan negara tidak lagi berfungsi sebagaimana sebelumnya.

Sebagai penggerak, teknologi telah “mendemokrasikan” setiap aspek perdagangan dan perniagaan, sehingga pasaran dan perkhidmatan dalam talian hari ini sering beroperasi di luar kerangka sedia ada berkaitan dengan pengawalseliaan, pensijilan, pelaburan dan pembangunan perniagaan. Hari ini, sesiapa sahaja boleh menjalankan perkhidmatan hotel atau menjadi pemandu teksi melalui perkhidmatan seperti Airbnb dan Uber. Sesiapa sahaja juga boleh mengumpul dana melalui crowdfunding atau meningkatkan skalabiliti melalui crowdsourcing.

Dunia baharu sudah menjelma, dan masyarakat serta kerajaan sedang berusaha untuk memahaminya.

Pada masa lalu, sumber yang paling penting untuk perniagaan adalah modal. Seorang usahawan tidak dapat memulakan kilang tanpa sejumlah besar modal untuk membeli peralatan dan mengajikan pekerja. Walau bagaimanapun, dalam Revolusi Perindustrian Keempat yang baharu ini, kejayaan memerlukan beberapa faktor pengeluaran yang berbeza.

Berdasarkan perkiraan inilah, Dr Klaus Schwab, seorang jurutera dan ahli ekonomi Jerman yang terkenal, telah merumuskan talentism (modal insan) semasa pembukaan Forum Ekonomi Dunia di Davos pada tahun 2013. Menurut Schwab, “modal dalam bentuk sumber kewangan sedang digantikan oleh daya kreativiti dan keupayaan untuk membuat pembaharuan – dalam erti kata lain modal insan – sebagai faktor yang paling penting dalam pengeluaran. Sepertimana modal kewangan telah menggantikan perdagangan manual semasa proses perindustrian, modal kewangan sekarang memberi laluan kepada modal insan. Talentisme adalah kapitalisme baharu.”

Bersaing dalam zaman idea

Di dunia yang baharu ini, satu-satunya hakikat yang kekal adalah perubahan. Justeru kegagalan untuk berubah akan mengundang padah. Ambil bekas gergasi telefon mudah alih, Nokia, yang pada tahun 2007 menguasai 49.4 peratus pasaran industri telefon pintar global. Pada tahun itu, Apple memperkenalkan iPhone pertama. Hanya beberapa tahun kemudian, Nokia telah dilupakan. Pada tahun 2013 syarikat Finland ini hanya menguasai 3 peratus pasaran. Oleh itu, inovasi dan kreativiti, bersama-sama dengan kebolehsuaian dan kadar responsif, kini menjadi pemacu utama kejayaan ekonomi. Dan ciri-ciri ini tidak datang daripada jentera yang terbaik atau pekerja terpantas. Sebaliknya, datang daripada bakat terbaik.

Dengan kata lain, daya saing dalam ekonomi baharu ini memerlukan proposisi nilai baru. Satu-satunya cara untuk mengekalkan kerelevenan dan untuk berada di hadapan dalam Revolusi Perindustrian Keempat ini bukanlah dengan menawarkan keberkesanan kos atau peningkatan kecekapan dalam pengeluaran, tetapi dengan menawarkan apa yang paling dituntut oleh dunia hari ini – idea. Inilah sebabnya mengapa orang yang berpendapatan tertinggi hari ini adalah orang yang mempunyai idea.

Oleh itu, penting bagi semua pihak yang berkepentingan, terutamanya pembuat dasar, untuk merealisasikan kecenderungan dunia masa hadapan ini. Pertimbangan yang mendalam dan holistik perlu diterapkan kepada dasar-dasar berkaitan perdagangan, tenaga kerja dan pendidikan. Ia tidak lagi akan menghasilkan pekerja yang paling baik dan paling berdisiplin tetapi mengasah keupayaan untuk membayang, mereka bentuk dan mencipta, sekurang-kurangnya buat masa ini sehingga mesin menjadi cukup pintar untuk melakukannya untuk kita.

Dalam era idea ini, keinginan dan iltizam untuk berubah adalah dua ciri utama yang diperlukan oleh sektor awam, swasta dan masyarakat. Ini kerana dua sifat paling utama yang diperlukan oleh talentism ini adalah pemikiran kritikal dan kreativiti, yang sering dizahirkan dengan cara yang sukar diterima dan diraikan pada awalnya, khususnya apabila ia mencabar status quo. Dalam keadaan ini, orang yang paling cepat menerima dan menyesuaikan diri yang akan berjaya.

Paling menarik, untuk individu, zaman idea ini juga akan menjadi zaman serba mungkin. Dengan skala yang tidak pernah dilihat sebelum ini dan ketersediaan peralatan, pengetahuan dan data, teknologi telah mendemokrasikan pasaran untuk semua orang. Oleh itu, tiada alasan untuk sesiapa sahaja yang bercita-cita tinggi, bertekad serta berbakat, tidak kira dari mana-mana bahagian dunia, untuk tidak dapat menghasilkan sesuatu yang mengagumkan dunia.

Apa yang diperlukan hanyalah idea yang bernas. – Roketkini.com.

*Zairil Khir Johari adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera dan Penolong Setiausaha Publisiti DAP