Berita

PAS berevolusi menjadi ‘pembangkang olok-olok’

Jalinan mesra antara PAS dan UMNO yang terserlah di media ketika ini jelas membuktikan bahawa kedua-dua parti yang dulunya seteru itu kini sudah mula berbaik-baik.

Apatah lagi, Utusan yang sejak sekian lama menjadi lidah rasmi UMNO memberi ruang kepada pemimpin PAS untuk mengisi muka hadapan akhbar mereka.

Malah, suara PAS sejak akhir-akhir ini juga cukup sebati dengan propaganda UMNO apabila kedua-duanya dilihat tidak henti-henti menyerang DAP dengan pelbagai tuduhan kitar semula.

Namun, skandal seperti FELDA yang hangat diperkatakan orang ramai sejak dua minggu lalu tidak pula disuarakan secara serius oleh pihak PAS.

Mengambil kira keadaan itu, maka benarlah kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawasanya PAS kini sudah berevolusi menjadi parti pembangkang ‘olok-olok’.

“Sebagai parti politik, sekiranya dikatakan baik oleh parti pemerintah, maka ia sudah lingkup kerana sekiranya anda (parti politik) dengar, setia, tidak buat kacau dan menggugat kedudukannya (parti pemerintah) maka anda dianggap baik.

“Ini bukanlah lagi parti pembangkang atau parti lawan yang sebenarnya, tetapi hanya parti pembangkang ‘olok-olok’. Tidak serius,” katanya dilapor media, semalam.

Untuk rekod, PAS kini bergabung dengan Parti Ikatan dan membentuk Gagasan Sejahtera yang kononnya bakal bertanding 130 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang.

Jumlah kerusi yang ingin ditandingi PAS ini bukanlah sedikit, lebih separuh daripada 222 jumlah kerusi Parlimen yang dipertandingkan, soal dari mana parti Islam itu mendapatkan dana itu persoalan yang lain. – Roketkini.com