Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini menegaskan bahawa kedudukan semua parti dalam gabungan itu adalah setara dan tidak ada satu parti pun yang bersifat dominan.
“Kita adalah ‘Pakatan of equal partner’. Tidak ada parti dominan, tidak ada ‘big brother’.
“Terdapat 14 pengerusi Pakatan Harapan negeri, kita sebolehnya saksama,” kata Setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah di hadapan ratusan perwakilan pada Konvensyen HARAPAN kali kedua yang berlangsung di IDCC, Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, HARAPAN yang dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) merupakan gabungan pembangkang paling komited dalam sejarah negara dengan tertubuhnya sayap pemuda dan wanitanya.
“Hari ini Pakatan Harapan merupakan gabungan parti-parti politik pembangkang terbesar di Malaysia yang betul-betul serius kerana mendaftar walaupun belum diluluskan.
“Inilah gabungan parti pembangkang yang paling serius bekerja dalam sejarah pembangkang.
“(HARAPAN) Sudah menubuhkan Majlis Presiden, sayap Pemuda dan Wanita dalam Pakatan Harapan. Ini termasuk penganjuran Konvensyen Wanita Pakatan Harapan dan Konvenysen Pemuda Pakatan Harapan semalam,” ujarnya.
Konvensyen itu turut dihadiri kesemua kepimpinan tertinggi parti gabungan, Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan-timbalan Presiden dan kepimpinan Pemuda dan Wanita setiap negeri.
Sementara itu, Saifuddin berkata, konvensyen kali ini akan membincangkan mengenai isu berkaitan dasar, rakyat dan manisfesto HARAPAN yang akan diumumkan secara berperingkat.
“Matlamat untuk membentuk Malaysia lebih baik dengan teras dan prinsip keadilan, amanah, perpaduan, tadbir urus baik dan sebagainya.
“Konvensyen ini tempat kita meletak kerja untuk memenangi pilihan raya umum ke-14. Konvensyen ini akan banyak pidato dan akan berakhir dengan keputusan besar, kita cuba buat keputusan yang ideal dalam suasana yang tidak ideal. – Roketkini.