Pandangan artis mengenai situasi semasa negara tidak harus diperkecilkan kerana mereka juga terbeban dengan dasar yang dilaksanakan kerajaan, kata penyanyi Wan Wan Aishah Wan Ariffin atau lebih mesra dipanggil Aishah.
Beliau yang terkenal dengan lagu Janji Manis Mu itu berkata demikian menutup slot Pentas Rakyat pada Konvensyen HARAPAN kali kedua di IDCC, Shah Alam, hari ini
“Saya menyeru kepada artis supaya jangan takut bersuara. Setiap keputusan politik akan memberi kesan kepada hidup kita.
“Kita semua akan merasa kesan daripada setiap keputusan politik,” ujarnya.
Katanya yang juga Anggota Angkatan Wanita AMANAH Nasional (Awan), kelantangan golongan artis dalam mengkritik haruslah dihormati dan tidak wajar ditafsir sebagai membenci negara.
“Kita patut menghormati pandangan artis yang bercakap soal kos sara hidup.
“Mereka masih prihatin terhadap kehidupan orang lain.
“Kami bersuara bukan membenci tapi mencintai tanah air ini dan ingin melihat hasil negara dinikmati secara adil oleh semua rakyat,” katanya.
Sebelum mendendangkan lagu Bahtera Merdeka, Aishah secara berseloroh turut mengingatkan HARAPAN agar tidak melupakan golongan artis jika berjaya menawan Putrajaya kelak.
“Saya mendoakan apabila Pakatan Harapan memerintah tahun ini, janganlah masa kempen ajak artis, bila memerintah ada bajet lupa pada kami,” katanya. – Roketkini.