Rencana

Bagaimana kita boleh bayar rakyat Malaysia gaji yang lebih banyak?

Pada 20 tahun yang lalu, seorang peguam yang baru tamat pengajiannya dibayar dengan RM2,000 sebulan di Kuala Lumpur. Ia dianggap bayaran yang amat memuaskan. Hari ini, peguam yang baru tamat pengajian dibayar dengan gaji sedikit lebih daripada RM2,000 sebulan. Satu penurunan paras pendapatan yang ketara untuk peguam muda seandainya mengambil kira faktor inflasi.

Bagaimana untuk membayar mereka dengan gaji yang lebih baik? Bagaimana kita meningkatkan semula pendapatan anak muda yang sedang menyaksikan penurunan?

Untuk membayar anak muda dan pekerja semua lapisan dengan gaji yang lebih baik, maka penstrukturan semula ekonomi Malaysia secara drastik perlu disegerakan.

Menetapkan gaji minima boleh menjadi salah satu jawapannya. Namun, gaji minima hanya berkesan di peringkat bawah. Hampir mustahil untuk kerajaan menetapkan skala pendapatan yang tegar di peringkat lain. Namun kerajaan melalui dasarnya boleh mempengaruhi akibatnya dengan cara yang berlainan.

Satu-satunya jalan untuk meningkatkan pendapatan anak muda adalah dengan memastikan satu perkitaran yang baik untuk pendapatan tinggi, kemahiran tinggi dan produktiviti tinggi. Ia hanya boleh berlaku apabila Malaysia tidak lagi bergantung kepada buruh asing yang kurang kemahiran.

Untuk membayar gaji yang lebih baik kepada anak muda terutamanya yang berkelayakan yang setara dengannya, ekonomi Malaysia perlu bermula dengan pembayaran gaji yang lebih baik kepada pemungut sampah. Hanya apabila golongan peringkat bawahan dibayar dengan lebih baik, barulah ia akan mencetuskan gelombang untuk melambung pendapatan.

Andaikata pemungut sampah dibayar gaji bulanan RM2,000, maka masyarakat Malaysia akan membayar RM4,000 kepada seorang peguam yang baru tamat pengajiannya (barangkali nilainya setara dengan RM2,000 pada tahun 1995). Jikalau pemungut sampah dibayar RM2,000, maka pendapatan golongan selainnya akan meningkat. Jikalau tidak, peguam muda yang baru tamat pengajiannya akan memilih untuk menjadi pemungut sampah.

Anda semestinya menganggap saya sedang berjenaka. Apakah mungkin seorang pemungut sampah dibayar RM2,000 sebulan dalam pasaran kerjaya sekarang? Namun ia menjadi mungkin seandainya kita menyusun semula ekonomi kita.

Buat masa sekarang, pengutipan sampah dan pembersihan bandaraya adalah kontrak yang menjanjikan pulangan lumayan, diberikan kepada kontraktor kroni oleh kerajaan tempatan atau agensi pengurusan sisa pepejal.

Kebiasaannya kroni ini akan mengambil jalan mudah dengan menyerah tugas ini kepada sub-kontraktor. Dan biasanya terdapat lebih satu orang tengah atau perentir (rent-seeker) yang tidak melakukan apa-apa tetapi dimanfaatkan melalui kontrak atau lesen yang dia perolehi daripada hubungan politiknya.

Ia tidak lagi menguntungkan apabila projek ini sampai ke tangan sub-kontraktor. Sub-kontraktor, yang sentiasa memikirkan cara untuk mengurangkan kos, akan mengupah buruh asing kurang mahir untuk menjalankan kerja kononnya 3D (dangerous, dirty, and demeaning) ini, iaitu bahaya, kotor dan keji. Mereka dibayar dari RM600 hingga RM900 sebulan.

Trak sampah yang tipikal biasanya akan dikendalikan seorang pemandu Malaysia yang dibayar gaji rendah, bersama 4 atau 5 orang buruh Bangladesh. Di banyak negara maju, trak pemungut sampah biasanya dipandu hanya seorang pemandu, dengan kerja selebihnya diautomasikan.

Dalam ekonomi yang bergantung kepada automasi, mesin, kemahiran dan teknologi, seseorang pemandu yang memandu trak sampah automatik dibayar untuk peranannya sebagai pemandu mahir dan pengoperasi mesin.

Mampukah kita membayar seorang pemungut sampah yang berkemahiran ini dengan RM2,000 sebulan? Adakah ia mungkin? Jawapannya, ya, dalam nada yang tegas. Kuncinya menyingkirkan kontraktor kroni yang memperolehi untung daripada rangkaiannya untuk mendapat kontrak, dan buruh asing kurang mahir yang melambak.

Bukan hanya dalam kes pemungutan sampah tetapi hampir setiap sektor, Malaysia, sebagai institusi ekonomi, tidak menghargai kemahiran, tidak membangunkan teknologi baru dan tidak berminat dalam inovasi.

Industri tidak memanjat tangga nilai. Banyak yang berpuas hati dengan mengaut untung daripada buruh asing kurang mahir sebagai jalan singkat. Namun, mempersalahkan industri sahaja tidak menyelesaikan masalah. Industri tidak mendapat sokongan kewangan untuk memperkembangkan alat mesinnya dan pengautomasian. Terlalu sedikit sokongan untuk Kajian dan Pembangunan (Research and Development, R&D).

Menyedari bahawa mereka tidak mampu memanjat tangga nilai, majikan berpuas dengan mengupah buruh asing kurang mahir yang bekerja bagai mesin dalam bilangan yang besar. Ramai majikan kemudiannya merungut, buruh Malaysia sentiasa malas dan kebanyakan masanya dibebani dengan komitmen kekeluargaan, kalau dibandingkan dengan buruh asing.

Kunci masalah bersandar pada dasar untuk membawa masuk lebih ramai buruh asing kurang mahir.

Untuk setiap buruh asing yang dibawa masuk ke negara ini, akan ada kroni yang mendapat untung daripadanya. Menteri Sumber Manusia, Richard Riot mendakwa bahawa Malaysia mempunyai lebih 6 juta buruh asing, di mana kira-kira 2.5 juta daripadanya berdaftar.

Apabila sektor perkhidmatan seperti hotel dan kedai serbaneka 7-11 juga mengambil pekerja asing kurang mahir, warga Malaysia di peringkat bawahan kehilangan kerja dengan bayaran gaji yang berpatutan. Sesetengahnya mencari kerja yang gajinya lebih rendah. Sesetengah hidup tanpa arah. Sesetengah pula melakukan jenayah.

Untuk anak muda dan golongan setara dengannya yang mempunyai ijazah universiti, mereka tersepit memandangkan ekonomi keseluruhannya tidak menghambat kemahiran dan nilai yang tinggi.

Majikan hanya memerlukan “pekerja baik” yang berfungsi bagai mesin. Mereka tidak bernilai sama ada dengan atau tanpa ijazah. Sudah tentu, dalam kitaran yang buruk sedemikian, sistem pendidikan kita juga tidak mempersiap-sediakan pelajar kita ke arah itu.

Sesetengah pekerja mahir yang tidak tahan dengan keadaan sedemikian memilih untuk tinggalkan tanahair dan mencari rezeki di tempat lain. Sekurang-kurang 1.5 juta warga Malaysia, kebanyakannya berkelayakan dan berkemahiran tinggi bekerja di luar negeri.

Bagaimana anak muda boleh dibayar dengan gaji yang lebih tinggi? Hapuskan kroni yang memperolehi manfaat daripada pengimportan buruh asing kurang mahir, mengurangkan buruh asing kurang mahir dalam ekonomi kita (terutamanya dalam sektor perkhidmatan), dan menjadikan agenda kita untuk memperuntukkan sumber bagi memacu momentum ke arah peningkatan kemahiran dan teknologi.

Ketika saya berusia 20 pada tahun 1997, Malaysia dilanda krisis kewangan Asia. Sejak itu juga ekonomi dan politik Malaysia terjerumus ke dalam kancah tanpa reformasi dan transformasi yang utama. Kita telah mensia-siakan generasi saya. Jangan kita sia-siakan generasinya pula. – Roketkini.com

Ucapan dasar Pengarah Politik Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong di Konvensyen Pakatan Harapan pada 7 Januari 2018 di Shah Alam.