Berita

Suara pesawah bergema di Konvensyen HARAPAN tuntut monopoli beras dihentikan

Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini turut disertai wakil pertubuhan pesawah padi, Badan Bertindak Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras (Padi Rescue) yang menyeru supaya industri beras negara ini diselamatkan dari monopoli pihak tertentu.

Menurut wakilnya, Rosli Yahya, badan itu telah mengemukakan 14 cadangan kepada kerajaan mengenai isu dan masalah yang dihadapi pesawah padi negara ini.

Apa yang medukacitakan, segala tuntutan tersebut gagal dipenuhi kerajaan UMNO-BN.

“(Masalah ini) perlukan sentuhan Pakatan Harapan – jika Pakatan tubuhkan kerajaan, kita harap apa jua masalah pesawah dan petani dapat diberi tumpuan,” katanya.

Salah satu daripada 14 cadangan Padi Rescue ialah supaya kerajaan memansuhkan BERNAS yang dilihat memonopoli pengeluaran beras negara ini sehingga menyebabkan penindasan dan kezaliman ke atas pesawah khususnya pesawah bumiputera.

Pihaknya menggesa supaya BERNAS dimansuhkan dan digantikan dengan penubuhan semula Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN).

“Perlu dikembalikan LPN yang kuasanya untuk mengatasi masalah koordinasi, penindasan dan salah guna kuasa termasuk pengagihan benih-benih padi,” katanya lagi.

Brikut adalah 14 cadangan dan tuntutan Padi Rescue yang pernah dikemukakan kepada kerajaan:

14 TUNTUTAN BADAN BERTINDAK SELAMATKAN INDUSTRI PADI DAN BERAS NEGARA

1- Menubuhkan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang kuasanya merentasi setiap peringkat rantaian industri padi dan beras bagi mengatasi masalah ketiadaan koordinasi, penindasan, salah guna kuasa serta eksploitasi di peringkat benih, padi dan beras. Semua keistimewaan yang diberikan kepada BERNAS mesti dipindahkan kepada LPN.

2- Bersihkan industri Padi dan Beras dari barah rasuah, penindasan dan salah guna kuasa.

3 – Pertahankan kedaulatan dan jaminan keselamatan makanan Negara dengan sasaran tahap sara diri (SSL) padi 100%. Tolak mengutamakan penggunaan indek keselamatan makanan (Food Security Index) versi The Economist yang berpaksikan free-trade serta mengabaikan kebajikan petani.

4 – Utamakan beras tempatan dalam penyediaan beras stokpile negara dan penggunaan dalam pasaran tempatan serta pastikan kawalan ketat dilaksanakan terhadap kemasukan beras import samada melalui penyeludupan atau secara sah.

5 – Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) diberikan​ hak sebagai pemborong dan peruncit beras.

6 – Kenakan cukai keatas beras import. Duti import ini kemudian digunakan untuk tabung khas bagi memastikan pendapatan petani terjamin jika berlaku musibah.

7 – Kouta monopoli penghasilan padi benih kepada pihak-pihak tertentu di hapuskan. Padi benih hendakkah di tanam dikawasan terasing untuk memastikan ketulenannya terjamin serta diuruskan oleh sebuah agensi pertanian yang tiada kepentingan komersial.

8 – Kaji semula keadah pemberian subsidi harga padi bagi semua hasil padi samada dijual terus, digunakan sendiri untuk benih atau dikisar menjadi beras. Ini memberi kebebasan kepada petani untuk memilih benih sendiri dan dengan mengisar sendiri padi untuk dijadikan beras petani dapat memperolehi lebihan pendapatan.

9 – Pemberian subsidi diuruskan oleh pihak LPN atau IADA (Integrated Agricultural Development Autority) seperti MADA dan KADA bukannya oleh sebuah syarikat persendirian seperti BERNAS.

10 – GST terhadap input pertanian dihapuskan, harga input pertanian dan kadar upah dikawal serta menguatkan kuasakan agensi yang akan menyelia mesin jentuai untuk mengatasi masalah padi tumpah ketika menuai kerana mesin yang tidak mengikut spesifikasi.

11 – Menangani masalah serangan perosak dan penyakit dengan serius serta profesional melalui sebuah pasukan pemantau yang benar-benar berfungsi.

12 – Subsidi input diberi dalam bentuk tunai dengan kaedah yang sesuai supaya petani boleh memilih pilihan baja yang berkualiti dan sesuai dengan agronomik tanah masing- masing serta kerajaan perlu melaksanakan dasar untuk mengurangkan penggantungan bahan kimia yang terlalu berat dalam pertanian demi kesihatan petani serta pengguna.

13 – Melaksanakan pemotongan pemutuan sebenar padi dengan had syiling yang berpatutan dan dengan kawal seliaan yang ketat. Petani yang merasakan dianiaya boleh membuat bantahan kepada LPN.

14 – Menghalang pertukaran syarat guna tanah pertanian padi kepada status lain yang kini dilakukan sewenang-wenangnya. – Roketkini.com