Berita

Lupakan permusuhan lama demi masa depan rakyat Malaysia – Lim Guan Eng

Ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam Konvensyen Pakatan Harapan 2018 mengingatkan seluruh komponen HARAPAN agar memusatkan tekad bersama menewaskan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keempat-empat parti komponen HARAPAN perlu mengetepikan emosi dan perasaan serta bersedia menghadapi segala tentangan musuh dalam pilihan raya hadapan.

“Saya ingin ucapkan syabas kepada kawaan-kawan daripada PKR, daripada AMANAH dan DAP yang bersedia untuk ketepikan perasaan dulu yang sebelum ini pernah memusuhi tapi kini kita bersama PPBM, melawan musuh yang paling utama iaitu BN.

“Bukan mudah, tapi saya ucapkan syabas kerana perasaan cinta kita kepada negara, kita ketepikan perasaan  dan emosi supaya Malaysia dapat diselamatkan,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Tegasnya lagi, DAP sama sekali tidak akan melupakan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim malah gandingan beliau bersama Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu alternatif yang kukuh untuk menumpaskan hegemoni UMNO-BN selama ini.

“Seperti kita semua maklum, gandingan Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah benar-benar menawarkan alternatif yang kukuh untuk mencabar hegemoni UMNO-BN.

“Saya hendak sebut di sini, DAP sentiasa bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kita tidak akan lupa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Guan Eng juga mengulas perihal PAS yang sebelum ini merupakan salah sebuah komponen dalam Pakatan Rakyat,  namun kini telah menjalinkan hubungan baiknya bersama UMNO.

“Semasa dalam Pakatan Rakyat, PAS yang dulu kawan sekarang mahu jadi lawan. PAS sebaliknya mahu jadi kawan dengan UMNO; dan sungguh pun kita hilang kawan ini tapi ada kawan baru dari BERSATU,” katanya lagi disambut tepukan perwakilan. – Roketkini.com