Berita

Pencalonan Dr Wan Azizah sebagai TPM angkat martabat wanita, bersejarah

Pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM bukan sahaja disambut baik kalangan komponen HARAPAN malah gabungan kedua-dua ‘seteru lama’ itu dilihat sebagai perdamaian yang mampu mencetuskan perubahan politik negara secara menyeluruh.

Mengalu-alukan perkara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Teresa Kok Suh Sim berkata pencalonan wanita sebagai TPM merupakan langkah kehadapan dan membuktikan bahawa HARAPAN serius mengangkat golongan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara.

“Ini membuktikan bahawa wanita mampu galas tanggungjawab yang besar. Datin Seri Dr Wan Azizah sebelum ini juga mencatat sejarah apabila diberi tanggungjawab sebagai presiden wanita kepada parti politik, Ketua Pembangkang wanita pertama, dan Presiden HARAPAN.

“Sekarang beliau dicalonkan sebagai TPM wanita pertama. Saya ucapkan tahniah dan ini boleh dijadikan contoh yang amat baik kepada semua wanita negara kita,” katanya kepada Roketkini.

Ditanya sama ada BN akan mengikuti langkah HARAPAN, Teresa berkata tidak ada calon pemimpin wanita dalam BN yang benar-benar layak memegang jawatan tersebut.

“Saya tak nampak ada calon yang seperti Dr Wan Azizah yang disokong oleh semua komponen parti (HARAPAN).

“Dalam UMNO, mungkin (calon TPM) wanitanya ialah Datuk Seri Azalina Othman yang kini menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

“Sebagai menteri yang jaga hal ehwal Parlimen, Azalina juga buat banyak keputusan yang tidak popular. Saya rasa dia tidak layak – tak ada dalam BN,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof menyifatkan usaha HARAPAN dalam mengangkat martabat wanita dalam politik sebagai perkembangan baik untuk Malaysia.

“Dalam usaha Pakatan Harapan nak selamatkan Malaysia, kita tidak lupa meletakkan kedudukan wanita di tempat yang tinggi.

“Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai TPM adalah kemenangan  buat wanita, perjuangan reformasi dan Malaysia sekaligus,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang. – Roketkini.com