Berita

DAP kerah jentera kempen, jangka PRU sebelum Anwar dibebaskan

DAP mengarahkan seluruh kepimpinan dan jentera parti digerakkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka berlangsung dalam tempoh 100 hari sebelum 17 Mei ini.

Demikian kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan penutupnya di Retreat Kepimpinan DAP 2018 semalam di Subang.

Beliau membuat kenyataan ini selepas pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilaporkan berkata Parlimen dijangka dibubarkan pada April.

Selain bulan Mei, tarikh lain untuk mengadakan PRU ialah pada 24 Jun di mana Parlimen akan terbubar dengan automatik dan mesti dilaksanakan dalam tempoh 60 hari pada Ogos 2018.

Bagaimana pun, Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata PRU tidak mungkin diadakan pada bulan Ramadan yang dijangka bermula pada 16 Mei, atau semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan Jun.

“Tidak mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan tunggu dan membiarkan parlimen terbubar sehingga 24 Jun yang bermakna pilihan raya akan diadakan pada bulan Ogos.

“Ini kerana pada masa itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah pun dibebaskan dari penjara dan akan membantu kempen menentang BN,” kata Guan Eng.

Ujarnya, pembebasan Anwar itu merupakan mimpi ngeri Najib apabila pemimpin de-facto PKR itu akan turut sama bergandingan dengan bakal Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin Pakatan Harapan lain dalam kempen menewaskan BN dalam PRU14 akan datang.

Guan Eng juga mengingatkan kepada perwakilan bahawa PRU14 merupakan pertembungan kalah-mati yang bakal mencorakkan masa depan negara.

“Untuk memenangi Putrajaya, HARAPAN perlu memenangi Perak, Kedah, Johor dan Negeri Sembilan selain mengekalkan kedudukan di Pulau Pinang dan Selangor.

“Jentera kita sudah perlu digerakkan sepenuhnya dalam masa 100 hari ini untuk memastikan mekanisme organisasi, penerangan dan kewangan telah siap sedia bersama kepiminan dan calon,” katanya lagi. – Roketkini.com