Berita

Dari kerja amal ke politik, apa kata doktor muda ini

Doktor muda ini percaya bahawa kerja amal dan penggubalan dasar yang baik mampu memperbaiki kerosakan sistem di negara ini – dan itu menjadi faktor utama yang menarik minat Dr Kelvin Yii menceburkan diri dalam politik.

Beliau yang aktif terbabit dalam kerja amal di dalam dan luar negara percaya sistem yang rosak hanya mampu diubah melalui pelaksanaan dasar yang lebih baik.

“Sebaik mana pun kerja amal dan kemanusiaan, perlu ada kerja tambahan di mana sesuatu dasar digunakan untuk memperbaiki dan mengangkat kehidupan rakyat.

“Saya tidak merendahkan kepentingan usaha melakukan kerja amal tetapi apabila dua bahagian itu digabungkan, kita boleh dapat penyelesaian lebih holistik untuk masyarakat.

“Saya berharap dengan menyertai politik, saya dapat mempengaruhi keputusan membuat dasar atau kerajaan bagi memastikan masalah rakyat diselesaikan,” katanya dalam wawancara bersama The Malaysian Insight yang diterbitkan portal berita itu semalam.

Kelvin, 31, anak jati Kuching merupakan pembantu kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen Stampin, Julian Tan dan pembantu khas Ahli Parlimen Kuching, Chong Chieng Jen.

Beliau pernah terbabit dalam misi kemanusian di sekitar Asia antaranya Myanmar, Filipina, Indonesia, Thailand dan juga Malaysia, khususnya di Sarawak dan Sabah.

“Saya lihat dengan mata sendiri penderitaan, kemiskinan dan penindasan yang dihadapi kebanyakan rakyat Sarawak kerana dasar dan kerajaan yang teruk.

“Memang benar kami sediakan rawatan ringkas dan boleh beri mereka kelegaan sementara tetapi dasar yang terus menyebabkan mereka jadi miskin.

“Sebab itu motivasi utama saya ialah masuk politik dan cuba sebaik mungkin untuk menjadi sebahagian dalam proses membuat dasar,” katanya.

Calon berpotensi DAP ini jika dipilih untuk bertanding di kerusi Parlimen, bakal menjadi calon termuda di Sarawak.

Beliau kini sedang dalam proses untuk mendapatkan sarjana dalam undang-undnag perubatan dan sedang menunggu keputusan dari Universiti of Northbria.

DAP angkat orang muda

Keyakinan DAP terhadap orang muda menjadi pemangkin utama Dr Kelvin untuk menyertai parti itu.

“Saya juga percaya pada ideologinya, dengan apa yang dilakukan dan konsistensi dalam memerangi rasuah.

“Isu penjagaan kesihatan dan pendidikan antara fokus saya tetapi saya juga mahu memperkasakan golongan muda,” ujarnya.

Beliau juga berharap lebih ramai orang muda terbabit dalam proses politik, aktif dalam wacana politik serta proses pembuat dasar.

Sebagai anak jati Sarawak, beliau mengakui bahawa hak negeri itu harus dikembalikan seperti dalam Perjanjian Malaysia.

“Saya akan berjuang habis-habisan untuk mengembalikan hak kita. Di Sarawak, ada banyak orang mempunyai akses terhad terhadap penjagaan kesihatan berkualiti. Saya Cuma mahukan infrastruktur asas yang sempurna disediakan di Sarawak, seperti air bersih dan jalan raya.

“Dan tentang kadar pengangguran dalam kalangan orang muda, saya akan perjuangkan dasar menyediakan persekitaran kondusif untuk rakyat Sarawak bersaing, bukan sekadar di peringkat kebangsaan tetapi harapnya hingga ke antarabangsa,” katanya. – Roketkini.com