Berita

Pengundi pos makin bertambah, taktik BN kekal berkuasa – BERSIH 2.0

Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH 2.0) menzahirkan kebimbangan terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendaftarkan lebih ramai penjawat awam sebagai pengundi pos bagi memenangkan Barisan Nasional (BN).

Menurut BERSIH 2.0, dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), BN hampir kalah di 30 kawasan Parlimen namun diselamatkan oleh undi awal dan pos.

Langkah mendaftarkan lebih ramai penjawat awam itu kata NGO tersebut dapat dikesan apabila SPR telah mendaftarkan ramai kakitangan awam dari agensi lain.

Ia berbeza dengan pengundi pos sebelum ini yang rata-ratanya terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan mereka, pengamal media dan rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Antara kakitangan agensi awam yang ramai didaftar sebagai pengundi pos bagi PRU14 kali ini ialah dari Jabatan Penjara; Jabatan Bomba dan Penyelamat; Jabatan Penguatkuasaan Maritim; pekerja kesihatan kerajaan; sukarelawan polis; Jabatan Pertahanan Awam Malaysia; Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara; dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Kebanyakan mereka didakwa mendaftar sebagai pengundi pos pada Oktober dan Disember tahun lepas.

“Kami bimbang kerana jabatan kerajaan yang disebutkan itu mempunyai jumlah pekerja dan pasangan mereka yang ramai dan ini mungkin akan merubah keputusan undi di kawasan-kawasan marginal bagi memberi kelebihan kepada kerajaan pemerintah,” ujar mereka dalam kenyataan hari ini.

BERSIH 2.0 justeru menggesa agar rakyat Malaysia menggunakan hak untuk memilih kerajaan dan masa depan negara.

“Keluarlah dan mengundi PRU-14 ini untuk memastikan suara yang diambil kira dalam perjuangan untuk pilihan raya yang bebas dan adil – tetapi apa penting lagi, untuk menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” ujar mereka. – Roketkini.com