Berita

Sebarang isu pembahagian kerusi akan ditangani secara bijaksana

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata, sebarang isu melibatkan pembahagian kerusi kawasan pilihan raya akan dibawa kepada peringkat tertinggi Pakatan Harapan supaya ditangani dengan sebaiknya.

Menurutnya, perkara itu penting supaya setiap keputusan yang dibuat dapat difahami dan diterima seluruh kepimpinan parti setiap peringkat.

Beliau percaya bahawa rundingan kerusi Pakatan Harapan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada yang telah dan sedang berlangsung dapat membantu menyelesaikan sebarang isu yang timbul.

“Bagi yang tiada kerusi DUN seperti Wilayah Persekutuan, maka ketidakpuasan hati ini akan ditangani dengan cara lain,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook menyeru supaya sebarang perbezaan pandangan dapat diuruskan secara bijaksana.

Katanya, perbezaan pandangan terhadap sesuatu cadangan itu katanya adalah lumrah dalam mana-mana parti politik namun haruslah berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Jangan buat kenyataan yang boleh dijadikan senjata untuk membunuh HARAPAN. Saya nak ingatkan bahawa suara mereka akan digunakan sebagai senjata politik oleh BN,” kata Ahli Parlimen Seremban itu kepada Roketkini semalam.

Tegasnya, BN akan mencari peluang menggunakan kenyataan mana-mana pemimpin HARAPAN yang bertentangan dengan sebarang keputusan bersama yang telah disetujui di peringkat pimpinan tertinggi.

“Keputusan sudah dibuat, jalan terus dan fokus untuk menang PRU14. Kita yakin, ini merupakan strategi kemenangan yang terbaik,” katanya lagi. – Roketkini.com