Berita

Kenapa kerajaan BN sekat hak pendidikan kanak-kanak tidak bernegara?

Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) sebelum ini berjanji akan membenarkan kanak-kanak tidak bernegara untuk menghadiri sesi persekolahan di sekolah kerajaan walaupun permohonan kerakyatan masih dalam proses.

Namun, melalui surat pekeliling bertarikh 28 Disember 2017 yang dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyatakan kanak-kanak tidak bernegara perlu menunjukkan pasport sebelum dibenarkan bersekolah.

Perkara seumpama ini kebiasaannya akan mendapat reaksi segera Kementerian Pendidikan, namun menurut Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto, kementerian terbabit sehingga kini masih berdiam diri berhubung arahan JIM.

“Saya menghubungi Kementerian Pendidikan dan bercakap dengan seorang pegawai daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian semalam dan diberitahu bahawa kementerian itu sedang meneliti arahan terbaru Jabatan Imigresen itu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Wanita DAP menuntut agar Menteri Dalam Negeri, Datuk Zahid Hamidi, menyatakan sama ada beliau tahu mengenai arahan tersebut dan jika ya apakah alasan di sebalik keputusan terbabit.

“Dia juga perlu mengatasi masalah timbunan permohonon kerakyatan yang tertangguh, khususnya bagi bayi yang kini sudah menginjak remaja,” ujarnya.

Mahdzir pula, kata Kasthuri perlu ‘mencari duri dalam daging’ dalam kementeriannya yang menjadi dalang di sebalik penafian hak kanak-kanak terbabit untuk mendapatkan pendidikan.

Pada minggu pertama persekolahan, media melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Seremban dihalang menghadiri sesi persekolahan kerana tidak memiliki pasport.

Keluarga angkat kanak-kanak itu dilaporkan sudah memohon kerakyatan untuk anak yang mereka ambil secara sah dan sedang menunggu kelulusan. – Roketkini.com