Rencana

Tiba masanya perkenalkan pas pengangkutan awam RM100 di Lembah Klang

Pada Oktober 2017, saya telah menulis tentang kurangnya peningkatan penumpang menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, KTM Komuter meskipun berbilion ringgit telah dilaburkan untuk projek-projek baru.

Statistik rel suku ketiga 2017 yang dikeluarkan Menteri Pengangkutan mengesahkan lagi kebimbangan saya bahawa peningkatan jumlah penumpang LRT dan MRT pada Julai dan Ogos 2017 adalah disebabkan oleh pelaksanaan sementara potongan separuh harga tambang perkhidmatan tersebut.

Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang mencatat penumpang harian tertinggi pada Ogos dengan jumlah 135,112 ketika terdapat potongan 50 peratus bagi harga tambang. Namun selepas tempoh tawaran diskaun itu tamat, jumlah penumpang menurun kepada 103,345 iaitu kurang daripada 150,000 penumpang yang disasarkan.

Begitu juga dengan jumlah penumpang harian di laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang yang masing-masing meningkat kepada 262,606 dan 195,536 pada bulan Ogos tetapi setelah tempoh tawaran diskaun tamat jumlah penumpang harian mereka masing-masing menurun kepada 219,568 dan 157,533.

Malah, jumlah penumpang LRT bagi bulan September adalah rendah berbanding pada Mac 2017 yang dianggarkan 238,602 dan 169,057 masing-masing bagi Laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang. (Lihat Rajah 1 dan Jadual 1 di bawah)

Rajah 1: Jumlah penumpang harian mengikut bulan (Dari Januari ke September 2017) untuk laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang, lalun MRT SBK dan Monorail KL.

Jadual 1: Jumlah penumpang harian mengikut bulan (Dari Januari ke September 2017) untuk laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang, lalun MRT SBK dan Monorail KL.

Sumber: Kementerian Pengangkutan, Statistik rel

Penurunan jumlah penumpang harian bagi LRT dan MRT menunjukkan bahawa pengguna pengangkutan awam sememangnya sensitif dengan perubahan harga tambang.

Ini adalah sebab mengapa adalah penting untuk kerajaan memperkenalkan pas bulanan pengangkutan awam bagi membolehkan pengguna menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorail, dan bas Rapid KL tanpa had bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam.

Sebelum ini, Rapid ada memperkenalkan pas perjalanan sebulan berharga RM150 bagi perkhidmatan LRT namun dihentikan selepas LRT menaikkan harga tambangnya pada Disember 2015.

Pakatan Harapan telah mengusulkan dalam belanjawan alternatif kami untuk memperkenalkan pas pengangkutan awam bulanan tanpa had dengan harga hanya RM100.

Saya yakin dengan pengenalan pas seumpama ini, penggunaan pengangkutan awam khususnya LRT, MRT dan bas Rapid akan meningkat dengan ketara, mungkin lebih tinggi daripada jumlah penumpang harian pada Ogos ketika harga tambang LRT dan MRT dikurangkan sebanyak 50 peratus. – Roketkini.com

*Dr Ong Kian Ming adalah Ahli Parlimen Serdang dan Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP.