Berita

Pemuda HARAPAN anjur forum bincang dasar ekonomi, 1 juta pekerjaan

Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengadakan forum pada Selasa depan di Ibu Pejabat Malaysiakini bagi membincangkan tawaran baru untuk anak muda.

Forum bertajuk Kerja, Gaji dan Kehidupan yang Layak itu, kata Ketua Setiausaha Pemuda HARAPAN Howard Lee antara lain menyentuh isu ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Forum tersebut akan membincangkan tawaran pertama Pemuda HARAPAN, iaitu untuk menghasilkan satu juta pekerjaan berkualiti dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan.

“Ia satu langkah yang akan menghasilkan ekonomi manusiawi yang layak untuk hari ini dan hari esok,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAPSY, forum berkenaan akan menampilkan barisan kepimpinan tertinggi Pemuda HARAPAN sebagai ahli panel.

Howard dalam pada itu sempat mengkritik Pemuda Barisan Nasional (BN) yang menurutnya masih tidak mampu menyaingi tawaran baru Pemuda HARAPAN.

“Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung UMNO dahulu memohon kepada kepimpinan partinya beberapa ‘tawaran baharu’ untuk memancing pengundi muda, satu terma yang sudah awal-awal lagi digunakan oleh Pemuda HARAPAN sejak Mei 2017.

“Kini selepas lebih sebulan berlalu, tawaran Pemuda BN tersebut masih ghaib, yang tinggal hanya kata-kata.

“Apa yang mengejutkan dan memalukan ialah Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda UMNO itu masih melukut di tepi gantang, perlu merayu untuk dasar anak muda kepada para dinosaur partinya,” katanya yang juga Adun Pasir Pinji.

Pemuda HARAPAN dalam konvensyennya pada Sabtu lepas mengemukakan lima tawaran dan 10 dasar untuk anak muda.

Antara tawaran menarik adalah siaran langsung perlawanan bola sepak percuma Liga Perdana Inggeris (EPL), lesen motosikal percuma, gaji minima RM1,500 dan pendidikan percuma di institut pengajian tinggi awam (IPTA). – Roketkini.com