Berita

Gandingan Mahathir-Anwar bikin UMNO goyang

Adakah UMNO kini begitu goyang dengan kekuatan Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga mahu menyekat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menyampaikan mesejnya kepada rakyat?

Demikian persoalan yang dibangkitkan Setiausaha Antarabangsa Sosialis Muda DAP (DAPSY), Howard Lee sebagai respon kepada gertakan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Nur Jazlan dilaporkan media berkata tindakan bekas timbalan perdana menteri itu mengeluarkan kenyataan tanpa kelulusan Jabatan penjara adalah satu kesalahan dan boleh memberi impak kepada tempoh tahanannya.

“Adakah ini semua tanda-tanda bahawa UMNO bakal runtuh di bawah tekanan Anwar dan perdamaian antara beliau dan Tun Dr Mahathir Mohamad?” kata Howard dalam kenyataan, hari ini.

Anwar dalam satu kenyataan sebelum ini merestui pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika HARAPAN dapat membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Dalam perkembangan lain, Howard yang juga Adun Pasir Pinji berkata, usaha UMNO memujuk PAS berjaya daripada segi taktikal, namun daripada segi strategi ia terbukti gagal.

“Mereka (UMNO) tidak boleh tendang keluar PAS sekarang, memandangkan mereka memerlukan setiap undi yang boleh diraih, kerana PPBM sedang hebat menghentam mereka sehingga mereka kini dalam keadaan kritikal.

“Ini adalah perang hidup atau mati (Datuk Seri) Najib (Razak) dan UMNO, kekalahan Najib adalah lebih teruk daripada kematian,” ujarnya.

Dua watak utama, Anwar dan Dr Mahathir, yang dulunya bersama UMNO kini bekerjasama dalam HARAPAN katanya bukan untuk merampas kembali parti lama mereka daripada Najib sebaliknya mahu menyerang habis-habisan perdana menteri itu.

“Mungkin sebab inilah Nur Jazlan melompat. Dengan faktor Anwar-Mahathir, rakyat khususnya orang Melayu sudah bersedia untuk perubahan,” tegasnya. – Roketkini.com