Berita

Halang pembangkang masuk FELDA Mata Ayer, Shahrir ambil jalan terkebelakang – ANAK

Adakah Tan Sri Shahrir Abdul Samad cuba mengambil langkah terkebelakang dengan menghalang pihak pembangkang mengadakan program di kawasan FELDA, soal Persatuan Anak Peneroka FELDA Kebangsaan (ANAK).

Ini kerana, menurut Pengerusi ANAK Mazlan Aliman, Shahrir yang menjadi Pengerusi FELDA pada Januari tahun lalu dilihat beria-ia mahu melakukan perubahan kepada agensi berkenaan.

“Adakah Tan Sri Shahrir, Pengerusi FELDA ketika ini mahu berundur ke belakang seperti zaman (Tan Sri) Isa Samad?

“Zaman Isa Samad, dia (Isa) keras menentang kehadiran kita (pembangkang) dengan erti kata lain tidak menghormati kebebasan dan demokrasi

“Adakah Tan Sri Shahrir yang dikatakan ingin bawa perubahan (kepada FELDA) membawa cita rasa yang sama dengan Isa Samad,” katanya dalam wawancara bersama Oren TV, hari ini.

Semalam, Mazlan bersama rombongannya dihalang meneruskan program Jelajah Selamatkan FELDA di FELDA Mata Ayer, Perlis.

Difahamkan seramai 40 orang termasuk ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) dan Majlis Belia FELDA membuat sekatan di pintu masuk kawasan tersebut.

Program santai minum petang itu sepatutnya diadakan di rumah seorang penyokong Amanah.

Rundingan telah dibuat namun mereka tetap berkeras untuk tidak membenarkan rombongan yang diketuai Mazlan itu untuk masuk atas alasan boleh memecahbelahkan masyarakat

Sambutan yang menggalakkan di Chuping, Perlis

Menyifatkan kes seumpama itu sebagai kes terpencil, Mazlan bagaimanapun mahu Shahrir menjawab perkara itu kerana bimbang peristiwa sama berlaku di kawasan FELDA lain.

“Saya minta dia (Shahrir) jawab kerana saya bimbang peristiwa yang berlaku di FELDA Mata Ayer walaupun kes terasing mungkin akan melarat di tempat-tempat lain jika tidak dikawal,” tegasnya.

Dalam pada itu, katanya, peristiwa yang berlaku di FELDA Mata Ayer itu tidak akan mematahkan semangat beliau untuk terus menerangkan kepada orang awam mengenai skandal FELDA.

“Bagi saya apa yang berlaku di FELDA Mata Ayer tidak mematahkan semangat.

“Bahkan di FELDA Chuping malam tadi sambutan daripada masyarakat FELDA begitu menggalakkan.

“Malah peneroka dan anak-anak muda FELDA Mata Ayer yang tidak dapat menerima kedatangan kami sendiri secara beramai-ramai datang ke FELDA Chuping malam tadi,” ujarnya. – Roketkini.com