Berita

Najib dicabar berdebat dengan Mahathir

Memandang pilihan raya umum semakin hampir, Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berdebat dengan calon perdana menteri mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana menurut Ketua Pemuda HARAPAN Nik Nazmi Nik Ahmad rakyat mahu mendengar dan menilai dasar yang ingin ditawarkan kedua-dua pihak, baik daripada Barisan Nasional yang dikepalai Najib atau HARAPAN yang diketuai Dr Mahathir.

“Tun M (Dr Mahathir) telah dicalonkan HARAPAN selaku perdana menteri jadi mereka berdebat atas kapasiti antara dua perdana menteri.

“Kita percaya rakyat mahu lihat apa dasar yang ditawarkan BN dan HARAPAN. Dan dengan debat ini, kita boleh bandingkan antara dua dasar,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Nik Nazmi berkata jemputan debat itu akan dihantar pihaknya minggu ini dan tarikhnya akan ditetapkan selepas Najib menerima pelawaan tersebut.
Beliau meminta agar siaran televisyen nasional, RTM menyiarkannya secara langsung.

“Bila dia (Najib) terima baru kita akan tetapkan tarikh. Pada bila-bila masa.

“Dia dakwa negara ini adalah negara demokrasi yang terbaik dalam dunia. Jadi dia tak patut takut untuk berdebat,” katanya. – Roketkini.com