Berita

Nasib penjawat awam dijamin terbela bersama HARAPAN

Penjawat awam tidak perlu bimbang dengan hasrat Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk mengurangkan kos kerajaan kerana ia tidak melibatkan pemberhentian kerja.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming berkata, tawaran dalam rangka manifesto HARAPAN itu sebenarnya lebih kepada menangani pembaziran kerajaan.

“Pakatan Harapan tidak pernah menyebut yang pengurangan kos kerajaan bermaksud jawatan akan dikurangkan.

“Apa yang dimaksudkan sebagai pengurangan kos ialah pengurangan pembaziran perbelanjaan seperti membeli jet untuk kegunaan Perdana Menteri dan keluarganya dan penyelewangan akibat daripada rasuah,” katanya kepada Roketkini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media yang memetik penganalisis dari Akedemi Pengajian Melayu Prof Dr Awang Azman Awang Pawi bahawa kononnya penjawat awam takut dengan tawaran pembangkang dalam aspek pengurangan kos kerajaan.

Tambah Kian Ming, beliau yakin penjawat awam merasa tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) yang menekan namun tidak meluahkan perasaan sebenar kerana bimbang diambil tindakan.

“Rata-rata penjawat awam tidak mengundi pembangkang kerana mereka rasa takut yang undi mereka mungkin boleh dikesan oleh pihak kerajaan terutama mereka yang mengundi di Putrajaya ataupun membuang undi pos dan undi awal,” ujarnya.

Beri bonus

Beliau yang juga Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP berpandangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor lebih menjaga kebajikan penjawat awam berbanding kerajaan pusat yang ditadbir BN dan ia dapat dilihat melalui pemberian bonus.

“Bonus yang diberikan kepada penjawat awam di Pulau Pinang dan juga Selangor adalah lebih berbanding dengan tawaran kerajaan pusat.

“Kerajaan Pulau Pinang memberi bonus sebanyak RM2,000 pada tahun 2017 berbanding dengan hanya RM1,500 untuk kerajaan pusat. Manakala kerajaan Selangor memberi bonus sebanyak 3 bulan untuk tahun 2017.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan yang mentadbir dengan urus tadbir yang telus dan jimat boleh memberi manfaat yang lebih bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga terhadap penjawat awam,” tegasnya. – Roketkini.com