Berita

Negara akan lebih maju jika tukar kerajaan

Negara akan lebih maju jika bertukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melalui pelbagai dasar merakyatkan ekonomi dan kebajikan dan hanya akan ‘hancur’ jika terus diterajui pemimpin kleptokrasi kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor Eddie Ng Tien Chee.

Beliau berkata demikian mengulas ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini yang dilaporkan berkata negara akan hancur sekiranya ‘silap’ menukar kerajaan.

Dakwaan tersebut kata Eddie bukan sahaja tidak benar malah menghina rakyat Malaysia kerana beranggapan seolah-olah rakyat seperti ‘katak di bawah tempurung’.

“Perkara ini bukan sahaja tidak benar malah ia merupakan satu penghinaan terhadap rakyat jelata seolah-olah mereka katak di bawah tempurung.

“Ini adalah kerana Negeri Selangor dan Pulau Pinang yang telah bertukar kerajaan sejak 2008 bukan sahaja tidak hancur tetapi semakin maju,” kata Adun Balakong itu dalam kenyataan.

Menurutnya, rakyat di kedua-dua negeri ini telah menikmati lebih banyak manfaat di bawah pentadbiran kerajaan impinan Pakatan Harapan berbanding BN.

Kenyataan Najib itu katanya hanya menunjukkan Barisan Nasional (BN) semakin tidak dapat menyembunyikan ketakutannya tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

“Apa yang Najib katakan adalah tidak benar sama sekali.

“Malaysia tidak akan hancur jika bertukar kerajaan malah ia hanya akan hancur jika dipimpin oleh kleptokrasi,” katanya lagi. –Roketkini.com