Berita

Jangan guna pendekatan ISIS dalam politik Malaysia, pendakwah terkenal tegur IKSIM

Pendakwah terkenal Ustaz Wan Ji Wan Hussin hari ini menegur felo kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Engku Ahmad Fadzil Engku Ali supaya tidak memperkenalkan pemikiran ISIS dalam perkara melibatkan isu Islam negara ini.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, kewujudan kepelbagaian parti adalah dibenarkan secara perlembagaan Malaysia, malahan dalam Islam itu sendiri.

“Justeru,  memfatwakan haram mengundi sesuatu parti yang sah secara perlembagaan tidak ada beza dengan pendekatan ISIS yang sedang tersebar di Syria dan Iraq, malahan telah mengancam keamanan dunia pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahmad sebelum ini yang menggesa mufti mengeluarkan fatwa mengenai mengundi, menyokong dan membantu DAP memandangkan kononnya parti itu sebagai ‘anti-Islam’.

Pegawai Penerangan Kerajaan Pulau Pinang itu berkata, sebagai badan yang mempunyai individu berpendidikan agama, IKSIM perlu faham perbezaan antara tiga perkara iaitu Islam, tafsiran Islam dan pendekatan yang diatasnamakan Islam.

“Menolak sesuatu pendekatan diatasnamakan Islam seperti ISIS, tidak boleh dianggap sebagai menolak Islam. Terutama, pendekatan keras itu ditolak oleh ramai Ulama-ulama yang muktabar.

“Saya berharap, IKSIM perlu menjadi badan yang mewujudkan keamanan dalam negara, bukan menimbulkan prejudis sesama masyarakat Malaysia yang diatasnamakan Islam.

“Sesungguhnya Islam bukan agama permusuhan, malahan Islam adalah agama yang mementingkan hubungan harmoni,” ujar beliau.

Jelas Wan Ji, tuduhan DAP sebagai ‘anti-Islam’ bukan sekadar ada kecenderungan pemikiran ISIS tetapi juga fitnah.

“Di Pulau Pinang, kerajaan yang diketuai seorang Non Muslim yang telah meluluskan peruntukan untuk perkembangan Islam lebih 84 peratus.

“Malahan, semalam ketua Menteri sendiri telah mengumumkan bajet kepada pegawai-pegawai masjid di seluruh negeri sebanyak 4.11 juta,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan IKSIM itu juga jelas cenderung kepada Barisan Nasional apabila badan berkenaan tidak pernah menyebut tentang MCA.

“Sedangkan hampir setiap kali pengumuman penambahan bajet untuk perkembangan Islam, MCA selalu menuduh DAP sebagai anti Cina,” katanya lagi. – Roketkini.com