Berita

DAP Johor luaskan pengaruh di Labis, buka cawangan di kampung Orang Asli

DAP Johor mencipta sejarah dengan penyertaan beramai-ramai komuniti Orang Asli di Labis sekaligus menubuhkan cawangan pertama komuniti Orang Asli negeri itu.

Bertempat di Kampung Tamok, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekok, seramai 52 individu dari komuniti suku Jakun di sini menyerahkan borang keahlian mereka kepada Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Balai Adat.

Menurut Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, selain penyerahan borang keahlian, DAP juga telah menerima sebuah memorandum melibatkan pelbagai isu yang menyelubungi masyarakat pribumi di sini.

“Memorandum ini mengetengahkan isu yang dihadapi komuniti seperti pengiktirafan terhadap perataan tradisional dan kepercayaan Orang Asli, begitu juga dengan hak tanah adat,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata, masyarakat pribumi sememangnya layak menerima pengiktirafan dan perlindungan sebagaimana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Berita lanjut menyusul