Berita

Golongan belia pedalaman diseru bangkit suarakan hak – DAPSY Pensiangan

Masih ramai golongan belia khususnya di kawasan pedalaman kabur tentang peranan sistem pilihan raya yang diamalkan di negara ini menyebabkan mereka tidak berminat dengan politik tanah air kata Ketua DAPSY Pensiangan, Bodrick Paulus.

Selain itu, antara faktor lain yang menyebabkan golongan muda menjauhkan diri dari terlibat dalam politik ialah akibat isu penyelewengan yang semakin berleluasa dan salah guna kuasa sebahagian pemimpin parti pemerintah.

Ia sedikit sebanyak telah menyebabkan sebahagian mereka berasa takut untuk menyuarakan hak mereka dan akhirnya tidak mengendahkan politik negara kata Bodrick.

“DAPSY Pensiangan dan kawasan pedalaman akan terus berusaha memberi kesedaran kepada golongan muda tentang kepentingan pilihan raya yang ada dalam sistem demokrasi negara kita,” ujarnya.

Tegasnya, pilihan raya amat penting untuk memilih pemimpin yang benar-benar layak demi menentukan hala tuju dan dasar-dasar negara.

“Saya harap, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) golongan muda di pendalaman ini memilih parti politik yang benar-benar faham dan memperjuangkan demokrasi, sebagai contoh kerajaan Pakatan Harapan yang telah pun terbukti cemerlang di Selangor dan Pulau Pinang.

“Pulau Pinang misalnya terbukti memiliki pengurusan negeri dan kewangan terbaik berbanding negeri-negeri yang ditadbir BN,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kempen merosakkan undi oleh seseteangah pihak yang tular di media sosial, Bodrick berpandangan kempen sedemikian tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan masa depan rakyat dan negara.

“Kami sarankan agar orang muda #UndiBaikBaik memilih kerajaan yang benar-benar prihatin  untuk mengubah nasib rakyat khsusnya golongan muda,” katanya lagi. – Roketkini.com