Berita

Kenapa ada ‘tauke’ dan ‘kuli’ dalam sistem kabinet cadangan PAS?

Hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mewujudkan sistem Kabinet dua lapis jika berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang mendapat kritikan pemimpin tertinggi DAP hari ini.

Terkejut dengan cadangan tersebut, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng justeru menyifatkan pembahagian Kabinet sebegitu sebagai tidak berpelembagaan.

“Takkanlah hendak mewujudkan satu golongan ‘tauke’ satu lagi jadi ‘kuli’. Begitu juga dalam Kabinet tak akan satu Kabinet orang Islam, Kabinet lain untuk orang bukan Islam kerana ini tidak berpelembagaan.

“Sekiranya tidak boleh mencerminkan ke’Malaysia’an susahlah. (Ini) Kerana sejarah telah membuktikan, parti-parti yang menang (PRU) biasanya yang mendapat sokongan semua golongan rakyat di Malaysia.

“Parti yang tolak sokongan orang bukan Islam dan bukan Melayu tak akan mendapat tempat di Malaysia,” ujarnya kepada pemberita.

Dalam laporan media semalam, Abdul Hadi dipetik sebagai berkata bercadang untuk mewujudkan Kabinet dua lapis iaitu satu Kabinet untuk orang Islam menentukan dasar nasional manakala satu Kabinet lagi yang terdiri daripada orang bukan Islam untuk melaksanakan dasar.

Dalam sidang media sama, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut mengulas soalan pemberita mengenai sama ada Pakatan Harapan (HARAPAN) akan tergugat pada PRU14 nanti apabila PAS meletakkan lebih ramai calon untuk bertanding.

“Pastinya ia satu cabaran, (namun) bergantung kepada rakyat (untuk menentukan) kerana rakyat juga ‘lihat’ PAS berkerjasama dengan BN (Barisan Nasional).

“(Dan) tentunya ia akan menggembirakan MCA, Gerakan dan UMNO kerana ia bukan sahaja beri kelebihan kepada UMNO tetapi juga MCA dan Gerakan.

“Lagipun PAS pernah suarakan untuk bertanding di (DUN) Air Putih, pada saya sesiapapun boleh bertanding. Itu hak demokrasi PAS untuk bertanding di mana-mana pun,” kata beliau. – Roketkini.com