Rencana

Selangor kunci patahkan helah SPR bantu BN menang

Kunci untuk menghalang Barisan Nasional daripada merampas kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 yang akan datang dipegang dalam tangan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali. Pimpinan beliau dapat mematahkan helah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membantu BN menang dalam PRU melalui cadangan persempadanan semula yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada bulan Mac akan datang.

Beliau mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mengarahkan pentadbiran kerajaan negeri termasuk semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengemukakan bantahan rasmi kepada SPR berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Seterusnya beliau boleh menyeru ribuan pengundi Selangor untuk turut membuat bantahan rasmi. Usaha besar-besaran sedemikian akan memaksa SPR untuk melanjutkan tempoh pendengaran awam sehingga Laporan Akhir Persempadanan Semula tidak sempat dibentangkan oleh kerajaan di Dewan Rakyat pada Sidang bulan Mac/ April yang akan datang.

Antara bentuk manipulasi institusi (Institutional manipulation) yang gemar digunakan oleh UMNO-Barisan Nasional (dan terbukti berkesan) adalah pelbagai bentuk manipulasi oleh pihak SPR sendiri ke atas sistem pilihan raya negara kita. Bentuk-bentuk manipulasi wujud termasuklah manipulasi ke atas Daftar Pemilih (termasuk undi hantu), sempadan bahagian-bahagian pilihanraya, amalan persempadanan semula dan banyak lagi bentuk-bentuk manipulasi yang kita tidak ketahui.

Dalam musim PRU yang semakin rancak, BN dan SPR menjadi semakin tidak sabar untuk meluluskan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya yang lebih berpihak kepada parti itu. Adakah kita mampu membuat sesuatu untuk menangguhkan persempadanan semula ini? Jawapan saya ialah kita memang berpeluang menangguhkan persempadan semula ini dan orang yang menjadi tumpuan ialah Menteri Besar Selangor.

Saya membuat andaian bahawa kita semua setuju bahawa pihak Pakatan Harapan lebih selesa dengan sempadan sedia ada walaupun masih terdapat pelbagai kelemahan yang perlu diperbetulkan.

Peluang tangguhkan persempadanan semula

Berdasarkan syor pertama dan syor kedua persempadanan semula yang dipamerkan pada tahun 2016 dan 2017 (syor kedua untuk Selangor masih dalam proses pameran sehingga 15 Februari 2018) kita hanya dapat menjangkakan bagaimanakah rupanya pola atau kecenderungan kehendak sebenar pihak BN dengan dibantu oleh SPR berkenaan persempadanan baru yang akan digunapakai dalam PRU14 yang bakal dijalankan dalam masa kurang daripada 100 hari.

Kita perlu sedar bahawa baik syor pertama atau syor kedua, kedua-duanya tidak boleh digunakan sebagai panduan untuk menjangkakan draf sebenar persempadanan yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat pada bulan Mac nanti. Sudah tentu draf terakhir tersebut akan diluluskan di Dewan Rakyat tanpa menghadapi halangan yang besar memandangkan bilangan kerusi BN di Dewan Rakyat.

Oleh yang demikian, peluang untuk menghalang atau menangguhkan persempadanan semula di Semenanjung Malaysia sangat bergantung kepada apa yang akan berlaku di Selangor dalam 10 hari akan datang. Sekiranya kita dapat mengumpulkan bantahan yang secukupnya maka tidak mustahil kita dapat menangguhkan proses persempadanan semula supaya draf terakhir itu tidak sempat untuk dibentangkan dalam sidang Parlimen terakhir untuk penggal ini yang dijadualkan sehingga 5 April 2018.

Soalannya, bagaimanakah kita boleh menggagalkan percubaan BN – SPR untuk menggunakan sempadan baru dalam PRU akan datang? Kita perlu mengambil kesempatan pameran syor kedua di Selangor untuk menggagalkan usaha pihak BN/SPR.

Selaras dengan seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan, pihak-pihak yang boleh membuat representasi membantah syor yang dicadangkan itu adalah:
(a) Kerajaan Negeri; atau
(b) mana-mana pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian
kawasannya termasuk di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang
tersentuh oleh syor itu; atau
(c) sekumpulan orang seramai satu ratus orang atau lebih yang nama mereka
ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan
raya yang berkenaan.

Maka SPR hendaklah menyebabkan suatu siasatan tempatan diadakan berkenaan bahagian-bahagian pilihan raya itu.

Mengikut amalan biasa sesi siasatan tempatan bagi satu representasi bantahan adalah 30 minit, maka 16 bantahan boleh didengar dalam satu hari bekerja. Dalam keadaan ekstrem dan mengambil kira faktor perayaan Tahun Baru oleh masyarakat Tiong Hua SPR akan memulakan siasatan tempatan pada 19 Februari 2018. Katakan kita ingin melambatkan proses persempadanan semula sehingga tidak sempat bagi SPR untuk membuat pembentangan dalam tempoh persidangan Parlimen yang berakhir pada 5 April, kita perlu memastikan bahawa siasatan tempatan perlu berlangsung bagi tempoh lebih daripada 35 hari bekerja, sehingga 6 April 2018. Ini bermaksud kita memerlukan lebih kurang 560 representasi bantahan sahaja.

Nampaknya 560 representasi bantahan merupakan sesuatu angka yang besar namun ini bukan sesuatu yang tidak tercapai khasnya dalam keadaan Selangor merupakan negeri di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Kerajaan Negeri bolehlah mengambil peranan untuk memimpin gerakan untuk melambatkan proses persempadanan semula ini.

Kerajaan Negeri wajarlah membuat representasi bantahan di setiap bahagian pilihanraya yang terlibat dalam persempadanan semula dan pada masa yang sama mengarahkan kesemua PBT berbuat demikian. Dengan ini kita bermula dengan sekurang-kurangnya 30 representasi bantahan.

Bukan itu sahaja, dalam keadaan kerajaan negeri dan PBT-PBT turut terlibat dalam usaha membuat bantahan ke atas persempadanan semula ianya dapat memberi motivasi kepada seluruh masyarakat khasnya NGO-NGO untuk membuat seberapa banyak representasi bantahan yang boleh. Andai kata kita dapat membuat lebih daripada seribu bantahan maka usaha BN/SPR untuk memastikan kemenangan mereka dengan sempadan bahagian pilihanraya yang baru akan terbatas.

Akhir kata, kemungkinan untuk menggagalkan persempadanan semula yang jelas tidak akan berpihak kepada Pakatan Harapan sangat bergantung kepada pendirian Datuk Seri Azmin Ali sebagai Menteri Besar. – Roketkini.com

*Tan Hong Pin merupakan ADUN Mengkibol merangkap Pengarah Pilihan Raya DAP Johor