Berita

UMNO akan terus cuba ‘bunuh’ DAP dengan pelbagai cara

Cubaan UMNO ‘membunuh’ DAP dengan mempergunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ternyata gagal setelah agensi tersebut akhirnya mengiktiraf pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Pengiktirafan itu kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang merupakan bukti bahawa pemilihan parti yang diadakan pada Disember 2012 yang lalu adalah telus, jujur dan demokratik.

Bagaimana pun katanya, itu cuma satu daripada tiga serangan yang telah dirancang strategis UMNO-BN untuk menghalang perjuangan murni DAP ke arah Malaysia yang adil, demokratik dan bersatu.

“Strategis UMNO-BN telah tewas dalam salah satu daripada tiga serangan mereka dan akan cuba sedaya upaya untuk memenangi dua lagi serangan,” kata Kit Siang dalam ceramahnya di Puchong, semalam.

Dua serangan itu kata Kit Siang dapat dilihat melalui dakwaan jahat yang dilemparkan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan tuduhan rasuah.

“Pada masa yang sama (UMNO-BN) menutup mata terhadap rasuah yang benar-benar berlaku dalam negara ini melibatkan skandal penggubahan wang haram berbilion-bilion Ringgit, skandal FELDA, MARA, Tabung Haji dan sebagainya.

Keduanya ialah tohmahan melulu dan polemik yang sengaja ditimbulkan melibatkan cadangan pembinaan terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Justeru, rakyat Malaysia diseru untuk terus memberi harapan dan kepercayaan kepada agenda perubahan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. – Roketkini.com