Berita

DAP tidak hairan perangai samseng UMNO, jelajah diteruskan

Kelakuan samseng UMNO yang mendesak supaya program Pakatan Harapan di Kg Bakar Batu Johor Bahru dibatalkan semalam tidak akan memberi apa-apa hasil malah akan menjejaskan lagi imej parti itu di mata rakyat.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY, Muhammad Shakir Ameer berkata, segala provokasi itu tidak akan menghentikan usaha DAP dan Pakatan Harapan untuk meneruskan program turun padang dan penerangan kepada rakyat.

Malah, aksi samseng itu katanya hanya akan menonjolkan bahawa UMNO semakin bimbang dengan pengaruh Pakatan Harapan yang semakin kukuh di Johor.

“DAPSY mengutuk sekeras-kerasnya kekecohan yang dicetuskan oleh ahli-ahli UMNO di Kg Bakar Batu, Johor Bahru sempena program bersantai bersama pimpinan Pakatan Harapan di Warung Hafiz malam tadi.

“Kami daripada DAP bersama rakan-rakan Pakatan Harapan akan meneruskan program-program bersama rakyat di mana-mana kawasan seluruh Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Menzahirkan rasa kesal, Shakir berkata politik samseng yang diamalkan UMNO ini tidak pernah ditegur pemimpin mereka sendiri.

“Jika Perdana Menteri selaku Presiden UMNO Najib Razak adalah seorang ‘gentleman’, beliau patut menegur ahli-ahli UMNO sendiri atas kelakuan mereka malam tadi dan juga meminta maaf.

“Mungkin Shahrir Samad patut turun padang dengan lebih kerap walaupun sibuk ‘membersihkan’ nama FELDA yang dilandai pelbagai skandal,” ujarnya.

DAPSY katanya mendesak supaya Ahli Parlimen Johor Bahru itu memberi penjelasan dan meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan pimpinan Pakatan Harapan Johor Bahru atas insiden tersebut.

Menurut Shakir, ini bukanlah kali pertama Lim Kit Siang diganggu dengan aksi samseng UMNO.

“Saya masih ingat semasa Pilihanraya Kecil Teluk Intan pada tahun 2014, kami berkempen di sebuah pasar malam bersama calon Dyana Sofya dan Lim Kit Siang sehingga sekumpulan ahli UMNO menyuruh kita keluar daripada kawasan tersebut secara agresif.

“Saudara Kit Siang mengucapkan ‘terima kasih’ kepada mereka dan berjalan keluar dengan tenang dan sabar,” katanya lagi. – Roketkini.com