Berita

Kedudukan istimewa Sabah, Sarawak akan dipulihkan selepas HARAPAN ambil alih kerajaan

Pakatan Harapan (HARAPAN) komited untuk memulihkan semula kedudukan istimewa kepada Sabah dan Sarawak sekiranya membentuk Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Usaha itu akan dimulakan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menilai semula Perjanjian Malaysia (MA63).

Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai berkata, pemulihan status Sabah dan Sarawak tersebut terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Kami akan kembalikan status negeri Malaysia Timur ke martabat yang sepatutnya.

“Kami akan memastikan perkara ini berlaku dan menyemak semula Perjanjian Malaysia (1963) dan semua kesilapan dan ketidakadilan akan dihentikan,” katanya lapor The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena rumah terbuka Tahun Baru Cina HARAPAN di Penampang, Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Cheras itu juga mempersoalkan kejujuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang baru-baru ini menabur janji untuk mengembalikan hak dua wilayah tersebu dan meminta supaya rakyat Sabah dan Sarawak tidak ‘dimanipulasi’ janji-janji manis BN.

Apa yang jelas kata beliau, Sabah akan terus menjadi antara wilayah termiskin dan mencatatkan kadar upah terendah dalam negara ini jika BN sekali lagi diberi mandat dalam PRU akan datang.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi PKR Sabah Christina Liew, Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong, Setiausaha DAP Sabah Foong Hin dan wakil Amanah Sabah.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, RCI terhadap hak Sabah dan Sarawak akan dibentuk dalam tempoh 100 hari setelah HARAPAN mengambil alih pentadbiran.

“Mereka (RCI) hanya ada tempoh selama enam bulan untuk siapkan laporan, dan jawatankuasa ini akan diketuai oleh pemimpin senior Sabah,” kata Chan.

Komitmen ini kata ADUN Sri Tanjung itu berbeza dengan janji manis BN yang tidak memberikan sebarang tempoh untuk mengembalikan hak-hak Sabah dan Sarawak. – Roketkini.com