Berita

Cadangan baru tawaran jawatan PTD diskriminasi graduan – Mahasiswa HARAPAN

Mahasiswa Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini membantah diskriminasi dalam pengambilan Pegawai Tadbir Dimpomatik (PTD) yang hanya dibuka kepada graduan kelas pertama tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sahaja.

Kenyataan ini dibuat sebagai mengulas cadangan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dalam ucapannya pada sesi Perjumpaan Bersama Pelajar Cemerlang Tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mini Karnival Kerjaya di Taman Ekspo Agro Malaysia (MAEPS) baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Ali memaklumkan bahawa hanya graduan kelas pertama tajaan JPA akan ditawarkan peluang sebagai PTD dalam perkhidmatan awam bagi sesi pengambilan Julai dan Ogos ini.

“Kelompok pertama yang didiskriminasi oleh polisi baru ini ialah golongan graduan kelas kedua atas dan kelas kedua bawah yang sebelum ini berpeluang untuk menjadi pegawai tadbir diplomatik dalam perkhidmatan awam.

“Adakah Jabatan Perkhidmatan Awam berpendapat bahawa graduan kelas pertama yang telah mendapat sumber biasiswa daripada institusi awam ataupun swasta lain bermutu lebih rendah daripada graduan kelas pertama yang mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam?” soal Mahasiswa HARAPAN.

Kenyataan ini telah dikeluarkan bersama oleh Na’im Brundage, Mahasiswa Keadilan Malaysia; Khuzairi Mazlan, Mahasiswa Amanah Nasional dan Leong Yu Sheng, Biro Hal Ehwal Varsity DAPSY.

Menurut mereka, JPA sepatutnya memperluaskan jaringan sebesar mungkin ketika proses penilaian graduan bagi pengambilan PTD dan bukan sebaliknya.

“Pihak kami berpendapat bahawa alasan eksperimen ini tidak boleh diguna pakai untuk situasi ini kerana perbandingan prestasi di antara golongan graduan kelas pertama dan golongan graduan kelas kedua atas dengan kelas kedua bawah sudah boleh dilakukan sekarang berdasarkan prestasi pegawai tadbir diplomatik bertugas daripada dua kelompok graduan ini.

“Jika kebolehan PTD boleh diukur berdasarkan pencapaian akademik mereka, bolehkah kami guna cara pengukuran sama untuk menilai kebolehan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Ahmad Bashah)?” kata kenyataan itu lagi. – Roketkini.com