Berita

Cukai GST bakal meningkat seperti Singapura jika tidak dihapus

Kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di negara ini akan terus mengalami peningkatan jika tidak dimansuhkan, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau memberi contoh Singapura yang akan menaikkan kadar cukai regresif itu daripada tujuh peratus kepada sembilan peratus dalam tempoh di antara 2021 dan 2025.

“Ini mengesahkan trend sedunia di mana, apabila GST diperkenalkan, kadarnya hanya akan menaik.

“Satu-satunya jalan penyelesaian untuk menghalang kenaikan kadar GST adalah menerusi penghapusannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk memansuhkan cukai berkenaan dalam tempoh 100 hari pertama mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

“Kami akan memulihkan Cukai Jualan dan Khidmat (SST),” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Guan Eng turut menempelak pihak yang cuba menyamakan Malaysia dan Singapura berhubung pelaksanaan GST.

“Singapura adalah sebuah negara ekonomi yang berpendapatan tinggi, maka ianya mampu melaksanakan GST,” ujarnya.

Malah katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per-kapita Singapura adalah lebih tinggi iaitu USD 52,961 berbanding Malaysia, USD 9,503.

Singapura mampu memperkenalkan GST kerana ekonominya jenis pendapatan tinggi, 5.6 kali ganda lebih tinggi daripada Malaysia.

“Inilah sebab mengapa peniaga-peniaga kecil di Malaysia menderita teruk berbanding dengan Singapura,” ujarnya.

Tidak seperti Malaysia, katanya lagi, Singapura memperkenalkan GST pada kadar permulaan tiga peratus bagi mengelak impak negatif terhadap ekonomi.

“Lainlah dengan Malaysia yang mulakan GST pada kadar enam peratus, mengakibatkan dislokasi ekonomi dan gangguan kadar kehidupan yang menyusahkan rakyat jelata,” ujarnya.

Beliau justeru menggesa rakyat agar menolak Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan cukai membebankan itu dapat dihapuskan.

“Dengan memberikan sokongan kepada BN, GST bukan sahaja akan dikekalkan, malah kemungkinan besar akan dinaikkan kadarnya pada masa hadapan.

“Hanya dengan menggantikan BN dengan HARAPAN, barulah GST akan dihapuskan sama sekali,” ujarnya. – Roketkini.com