Berita

Ini sebabnya mengapa PAS tidak mampu selamatkan UMNO

Mungkin ada sebilangan pihak yang percaya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini akan memperlihatkan bagaimana UMNO – Barisan Nasional (BN) berjaya diselamatkan oleh parti pembangkang yang tidak bersama Pakatan Harapan khususnya PAS.

Ada juga teori yang mendakwa BN mampu kekal memerintah meskipun berlakunya pertembungan tiga penjuru jika PAS dapat mengekalkan sokongan pengundinya dan mendapat undi dari mereka yang membenci  Najib.

Namun, adakah tindak-tanduk PAS yang selama ini dilihat semakin mesra UMNO-BN benar-benar mampu menyelamatkan parti yang lebih enam dekad memegang tampuk kuasa itu?

Adakah PAS benar-benar semakin kuat sebagaimana yang dicanangkan pemimpin-pemimpinnya selama ini dengan mengumumkan meletakkan calon-calon mereka di kerusi yang ditandingi HARAPAN?

Menurut Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, situasi politik saat ini memperlihatkan PAS sebenarnya tidak mampu menyelamatkan UMNO pada PRU14.

Malah, PAS juga dilihat bimbang dengan kedudukannya yang semakin lemah di Kelantan.

Tambahan lagi apabila rakyat biasa -pengundi yang tidak menyukai Najib menyedari bahawa  Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat melakukan apa yang direstui Najib.

“Tidak ada siapa yang akan mensia-siakan undi. Jangan anggap pengundi boleh ditipu dengan strategi pertandingan tiga penjuru yang akan mengekalkan kuasa Umno dan Najib.

“Malah jika PAS masih menjadi faktornya, PAS masih tidak mampu menyelamatkan UMNO di Kedah, Johor dan Sabah,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Bagi Kedah katanya, Pakatan Rakyat kalah enam kerusi dalam 2013 berbanding 2008 dan sokongan Melayu kepada Barisan Nasional (BN) meningkat 6 peratus atas faktor Mukhriz Mahathir dan Tun Dr Mahathir dan sentimen anti Azizan Razak (Menteri Besar ketika itu).

Lain pula keadaannya sekarang apabila faktor Mukhriz-Mahathir berada di pihak Pakatan Harapan (PH).

“Faktor PAS tidak begitu penting di situ (Kedah). Terdapat kemungkinan realistik bahawa BN akan kalah antara tujuh dan 10 kerusi Parlimen di Kedah.

Bagi negeri Johor, daripada 26 kerusi Parlimen, HARAPAN kini memiliki enam kerusi iaitu Bersatu 1, PKR1 dan DAP 4.

“Daripada baki 20 kerusi, 10 daripadanya adalah kerusi marginal dalam 2013, dan Ayer Hitam bukan dalam senarai pada waktu itu tetapi sekarang ia adalah kerusi kompetitif biarpun sukar.

“Sekali lagi, Pas tidak menjadi faktor di Johor,” kata Pengerusi DAP Johor itu. – Roketkini.com