Berita

DAP bersolidariti bersama Fahmi Reza

Hukuman penjara dan denda sebanyak RM30,000 yang dikenakan ke atas aktivis Fahmi Reza gara-gara karya satira badut berwajah Perdana Menteri, Najib Razak yang ‘menyakitkan hati pemimpin’ segera mendapat reaksi Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Menurut Steven, kritik dan satira politik di negara ini diibaratkan seperti jenayah berat sehingga pelaku boleh dikenakan tindakan berat.

“Jika dengan undang-undang sedia ada pun pemerintah boleh sesuka hati menghukum pandangan yang tidak bersetuju dengannya, maka pastinya jika digubal undang-undang berita palsu seperti yang dicanangkan baru-baru ini, akan ada lebih ramai lagi mangsa kezaliman ‘akta sakit hati’ kerajaan.

“Hakikatnya, UMNO-BN sudah hilang kredibiliti dan moral autoriti disebabkan perbuatan kleptokrasi dan skandal rasuah 1MDB. Dalam keadaan ini, undang-undang anti-demokrasi digunakan untuk menutup mulut rakyat yang mengkritik kerajaan,” kata Steven.

Semalam, Fahmi disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara 1 bulan serta denda RM30,000. Aktivis itu didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bagi Kasthuri pula, hukuman ke atas Fahmi yang juga seorang pereka grafik itu jelas menunjukkan wujudnya salah guna kuasa dan tindakan yang mengganggu kreativiti golongan muda yang memiliki pandangan yang berbeza.

“Daripada kes belon kuning sehinggalah karikatur badut, Najib menunjukkan sikap beliau bukan seorang negarawan malah telah menyalahgunakan kuasa dan jawatan untuk mengganggu golongan muda yang mempunyai pandangan yang berbeza,” katanya.

Lebih ironi, Najib tidak pula menghalang tentera-tentera siber UMNO-BN yang galak mefitnah pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.

Beliau memberikan contoh sehingga saat ini, tiada sebarang tindakan diambil ke atas pihak yang membuat ugutan bunuh ke atas pemimpin Bersih iaitu Datuk Ambiga, Mandeep Singh dan Maria Chin melalui sebuah grafik tawanan ala ISIS.

Sebagai menyatakan solidariti, Steven dan Kasthuri turut mengumumkan akan memberikan sokongan kewangan kepada aktivis tersebut. – Roketkini.com