Berita

Harakah layan teori konspirasi, tiru perangai akhbar UMNO

Lidah rasmi PAS, Harakah kini dilihat semakin menyerupai akhbar pro-UMNO apabila akhir-akhir ini sering menyiarkan tulisan fitnah terhadap DAP.

Ini terbukti apabila akhbar itu menggunakan dakwaan seorang individu yang sering dibawa pemimpin UMNO dalam ceramah mereka bagi memburuk-burukkan DAP.

Pun begitu, menurut Adun Pasir Pinji Howard Lee segala dakwaan individu tersebut masih tidak dibuktikan sehingga kini.

“Mereka (Akhbar Harakah) berspekulasi bahawa kononnya DAP telah ‘dilatih oleh ejen Israel’ untuk menawan Putrajaya.

“Spekulasi itu menggunakan dakwaan yang tidak masuk akal oleh seorang individu yang tidak waras, Razali Abdul Rahman.

“Sampai sekarang tiada satu bukti pun yang dikeluarkan oleh individu bermasalah ini, yang sama-sama tidak siuman seperti ‘Raja Bomoh Sedunia’,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Razali sebelum ini pernah menyertai forum yang dihadiri Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa di mana kedua-duanya berkongsi skrip penipuan dan teori konspirasi yang sama bagi memusnahkan imej DAP.

“Sebenarnya, tidaklah menghairankan jika penipu sama penipu duduk sepentas,” kata Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Perak itu.

“Mereka sepatutnya sibuk berkhidmat untuk rakyat, tetapi sebaliknya menghabiskan masa dan membazirkan tenaga penjawat awam dan duit pembayar cukai melayan teori konspirasi,” tambahnya.

Malah, apa yang lebih menghairankan bagi Howard PAS kini turut sama meniru ‘taktik dan tipudaya’ UMNO – yang menjadi seteru politik sejak sekian lama.

“Mungkin sudah tiba masanya Harakah menukar namanya kepada Majalah Mastika.”

Mastika adalah majalah terbitan anak syarikat Utusan Melayu yang memaparkan kisah-kisah masyarakat, termasuk kisah-kisah mistik dan misteri.

Awal Januari lalu, Harakah dilaporkan memberhentikan kakitangannya hujung tahun lalu, dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan secara kontrak selama enam bulan dengan tawaran gaji satu pertiga daripada gaji asal atau minimum RM1,000.

Laporan The Malaysian Insight mendedahkan bahawa selain gaji lebih rendah, kontrak tersebut menetapkan syarat-syarat perkhidmatan lebih rendah, termasuk cuti sehari bagi setiap bulan.

Kakitangan Harakah juga dilaporkan tidak lagi digaji oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat. – Roketkini.com