Berita

Mana bukti GST turunkan harga barang?

Sehingga kini tiada bukti bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mampu menurunkan harga barang seperti yang didakwa menteri UMNO Datuk Ahmad Maslan.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata cukai regresif yang mula dikuatkuasakan pada April 2015 itu sebaliknya menaikkan harga barang sekaligus kos sara hidup.

“Sehingga kini, Ahmad Maslan tidak menjelaskan atau menunjukkan bukti untuk membuktikan GST telah menyebabkan penurunan harga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu memetik kenyataan seorang ahli akademik seperti dilapor Sinar Harian bahawa harga barangan kian meningkat sejak tujuh tahun lepas.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latif, dipetik sebagai berkata bahawa harga barang kian meningkat dari RM100 kepada sekurang-kurangnya RM130.

Guan Eng turut memetik kenyataan Pengarah Pengurus Pasaraya Mydin, Ameer Ali Mydin yang mendakwa rakyat tiada wang untuk berbelanja walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kukuh.

“Sungguhpun kadar pertumbuhan KDNK adalah 5.9% pada tahun 2017, jualan runcit telah menurun akibat dari harga barangan yang naik mendadak,” ujarnya Guan Eng.

Mydin turut menyenaraikan barangan yang harganya meningkat iaitu sayur kobis dari Cameron yang naik 29 peratus dalam tempoh lima tahun ini, ikan kembung hitam (naik 19.5 peratus), sos cili jenama Maggi (naik 38.8 peratus) dan sardin jenama Ayam (naik 30.6 peratus).

Mengulas lanjut, tidak seperti Perdana Menteri Najib Razak katanya Dr Mahathir Mohamad ketika era pentadbirannya enggan memperkenalkan GST walaupun negara ketika itu menghadapi krisis ekonomi.

“Ini kerana beliau sedar dengan kesan impak enonomi buruk yang datang bersama GST khasnya terhadap golongan miskin dan perniagaan kecil.

“Regim BN masa kini tidak peduli dengan masalah ini, dan hanya ingin mencari jalan menutup ‘lubang kewangan’ yang diakibatkan oleh skandal-skandal kewangan, khasnya skandal 1MDB yang bernilai RM52 bilion.

“Hanya dengan memansuhkan GST, barulah kita dapat memecahkan kitaran GST yang semakin meningkat pada masa akan datang di Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan. – Roketkini.com