Berita

Kedudukan indeks rasuah negara merosot, Paul Low perlu letak jawatan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low harus bertanggungjawab terhadap prestasi buruk negara dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) baru-baru ini.

Sehubungan itu, menteri yang bertanggungjawab terhadap hak-hak ketelusan dan integriti dalam tadbir urus kerajaan itu menurut Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, perlu meletak jawatan kerana gagal menjalankan tugasnya dengan baik.

“Sebaik-baiknya, Low patut meletakkan jawatan sebagai menteri kabinet dan juga senator yang dilantik kerana beliau telah mempersembahkan prestasi CPI paling buruk buat negara dalam tempoh lima tahun lalu sejak beliau dilantik ke ‘jabatan integriti’ Perdana Menteri di Putrajaya lima tahun lalu,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

CPI yang dikeluarkan TM-I semalam meletakkan Malaysia di kedudukan ke-62, setaraf negara komunis Cuba dan diberikan 47 mata dalam skala kosong hingga 100.

Kosong bermaksud paling rasuah dan 100 pula sangat bersih.

Paul ketika mengulas mengenai data tersebut berkata rekod buruk itu disebabkan kempen agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tahun lepas.

“Publisiti dan pendedahan meluas yang diberikan SPRM terhadap kes-kes ini dalam tahun-tahun mutakhir mewujudkan lebih banyak tanggapan negatif yang sekali gus menyumbang terhadap kemerosotan mata dan kedudukan CPI Malaysia,” kata Paul dalam kenyataan, semalam.

Pun begitu, bagi Lip Eng yang Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, respon Paul itu tidak masuk akal.

“Kenyataan Low seolah-olah memberi gambaran bahawa murid sekolah yang rajin berusaha pastinya akan gagal dalam peperiksaan.

“Jika Paul benar, mungkin SPRM sepatutnya menghindarkan diri daripada tangkapan berprofil tinggi pada masa akan datang bagi mencapai kedudukan yang lebih baik dalam indeks CPI tahun depan,” ujarnya.

CPI cap SPRM

Turut sama mengulas mengenai CPI berkenaan adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad yang mendakwa data tersebut ‘tidak berpijak di bumi yang nyata’.

Beliau justeru mengumumkan bahawa pihaknya akan merangka indeks sendiri dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi.

“Adakah beliau mengandaikan indeks CPI (TM-I) ini sesuatu yang ‘palsu’?

“Mungkin negara Cuba sahaja yang akan menerima indeks rasuah bikinan SPRM ini,” ujarnya sinis. – Roketkini.com