Berita

Kit Siang nafi terima walau satu sen pun daripada Robert Kuok

Serangan bertalu-talu dari blogger upahan dan pemimpin-pemimpin UMNO yang bertujuan menimbulkan kebencian kaum dan memburuk-burukkan DAP semakin menjadi-jadi.

Terkini, jentera dakyah UMNO mengaitkan kononnya hartawan terkaya Malaysia Tan Sri Robert Kuok memberi dana kepada DAP demi memenuhi agenda menggantikan kerajaan sedia ada.

Nama Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang juga dikaitkan secara langsung kononnya pernah menerima wang daripada Robert Kuok termasuk melalui orang tengah iaitu anak saudaranya, James Kuok.

Bagaimana pun Kit Siang menegaskan beliau tidak pernah menerima walau satu sen pun daripada Robert mahu pun anak saudara hartawan itu.

“Saya ingin nyatakan selama 53 tahun dalam politik, saya tidak menerima walau satu sen pun daripada Robert Kuok, sama ada melalui James Kuok atau orang lain,” katanya dalam kenyataan.

Tuduhan itu juga malah disanggah oleh James: “Saya tidak digunakan oleh Robert Kuok untuk menyalurkan wang kepada DAP. Saya juga tidak secara peribadi memberi wang kepada DAP,” katanya lapor Malaysiakini.

Menurut Kit Siang ‘berita palsu’ seumpama ini akan terus digunakan BN sebagai dakyah mereka dalam kempen memburuk-burukkan DAP dan Pakatan Harapan.

“Pembohongan, berita palsu dan maklumat palsu akan jadi senjata penting bagi UMNO-BN pada Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya lagi. – Roketkini.com