Berita

230 Orang Asli Temiar Kelantan sertai DAP demi perjuangan tuntut hak tanah adat

Sikap tidak acuh kerajaan PAS Kelantan menyelesaikan isu pencerobohan tanah adat Orang Asli negeri ini mendorong sejumlah 230 masyarakat Temiar mengemukakan permohonan menjadi ahli DAP.

Penyertaan beramai-ramai ini sekaligus memperkukuh perjuangan mempertahankan hak tanah adat yang telah lama diabaikan kerajaan PAS dan merupakan bukti DAP semakin diterima masyarakat pribumi.

Majlis itu menyaksikan penyerahan borang keahlian oleh wakil Orang Asli, Nasir Dolah, 30, kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertempat di dewan serbaguna di Kampung Orang Asli Parik, Kuala Betis, Gua Musang.

Selain pimpinan DAP, turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan Cikgu Wan Rahim merangkap Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan.

Dalam ucapannya, Lim Kit Siang berkata kemenangan HARAPAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memastikan masyarakat Orang Asli di terbela dan mendapat kedudukan sewajarnya dalam kerajaan.

“Jika kita (HARAPAN) berjaya, kita bukan sahaja mahu Perdana Menteri yang baru tetapi kita mahu reformasikan institusi dan selesaikan masalah tanah adat.

“Saya juga akan cadangkan sekurang-kurangnya jawatan Timbalan Menteri dilantik dari kalangan Orang Asli untuk melaksanakan masterplan demi tingkatkan kedudukan dan taraf Orang Asli,” kata beliau.

Kit Siang menyeru seluruh komuniti Orang Asli supaya berani melakukan perubahan dan tidak terpengaruh dengan dakyah UMNO-BN kononnya masa depan Orang Asli akan terjejas sekiranya HARAPAN menjadi kerajaan.

Dakyah sedemikian juga kata beliau turut sering dimainkan UMNO ke atas masyarakat Melayu sebelum ini yang kononnya kononnya kuasa dan kepentingan Melayu akan tergadai jika HARAPAN memerintah.

“Hakikatnya kenyataan sebegitu tidak benar. Lihat di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Adakah kuasa dan kepentingan masyarakat Melayu terjejas tanpa UMNO? Jawapannya tidak,”tegas Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi.

Lawatan kerja Kit Siang ke Gua Musang itu kemudiannya diteruskan ke Blockade Pos Cawas untuk meninjau situasi terkini dan sesi dialog dengan aktivis Jaringan Orang Asli di sana. – Roketkini.com