Uncategorized

Guan Eng serah cek sumbangan RM40,000 bina asrama sekolah agama

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini menyerahkan RM40,000 cek sumbangan untuk projek pemajuan sebuah bangunan asrama tiga tingkat Sekolah Menengah Islam Ad-Diniah, Sungai Bakap yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM410,000.

Pengetua sekolah berkenaan, Ustaz Abdul Latif Shapee menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang dalam memartabatkan Islam di negeri ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat (Ketua Menteri) atas keperihatinan menyalurkan sumbangan tersebut demi masyarakat kita yang ada pada hari ini, memerlukan sumbangan ini,” ujarnya yang juga Setiausaha Jamaah Pengurusan Sekolah berkenaan dalam sidang media di Komtar petang tadi.

Sebelum itu, Guan Eng menyatakan bahawa sumbangan tersebut diberikan berdasarkan keperluan, bukannya berdasarkan kaum atau agama sebagaimana didakyah oleh pemimpin pembangkang Pulau Pinang.

“Saya pernah dianggap sebagai ‘anti-Cina’ kerana dilihat membantu orang Melayu sahaja, tetapi kadang-kadang saya sendiri pun tidak faham.

“Kalau bantu orang Cina pun saya kena bantai, kalau bantu orang Melayu pun saya kena bantai, kalau bantu (kaum) India pun saya kena bantai.

“Kalau saya bantu Melayu, Cina dan India pun, itu memang tugas saya sebagai Ketua Menteri, iaitu menyalurkan bantuan berdasarkan keperluan,” jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebangsaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Maktar Shapee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap kerana mengetengahkan hasrat Jamaah Pengurusan Sekolah berkenaan untuk memohon sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih, sehingga kini Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim begitu banyak membantu pentadbirannya dalam merealisasikan agenda memartabat Islam di Pulau Pinang.

Beliau turut memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi jemputan ke majlis jamuan makan kutipan dana pembangunan sekolah berkenaan nanti.

Bercakap pada sidang media sama, menurut Maktar, projek pemajuan sekolah berkenaan turut memerlukan RM100,000 kos penyediaan segala kelengkapan dalam bangunan, selain RM410,000 kos pemajuan bangunan asrama tiga tingkat sekolah tersebut.

Terdahulu, Guan Eng pernah dituduh sebagai “anti-Cina” kerana peruntukan hal ehwal agama Islam sejak tahun 2008 yang direkodkan berjumlah RM457.05 juta di negeri ni adalah menyamai peningkatan 84 peratus, berbanding tempoh sama dari tahun 1999 hingga 2007 sebanyak RM249.09 juta.

Pautan Video : https://www.facebook.com/buletinmutiara/videos/2013746541976119/