Berita

Kerajaan sepatutnya jujur selesai isu hak tanah adat Orang Asli

Kerajaan persekutuan UMNO dan PAS Kelantan diminta supaya berterus terang dan jujur mencari penyelesaian tuntas masalah tanah adat yang sejak sekian lamanya membelenggu masyarakat Orang Asli negeri ini kata aktivis Orang Asli Temiar, Nasir Dolah.

Menurutnya, kerajaan negeri khususnya jelas menunjukkan sikap tidak peduli terhadap hak istimewa masyarakat Orang Asli Temiar itu sehingga menyebabkan pelbagai konflik timbul dan menyukarkan kehidupan mereka.

“Masa ini, kalau kita lihat, sudah lebih 60 tahun UMNO menjadi parti pemerintah, adakah UMNO bersungguh-sungguh selesaikan isu tanah adat kita?

“Di Kelantan pemimpin-pemimpin dikenali sebagai ‘ulama’ dan ‘tok guru’, kalau macam inilah caranya, itu bukan ulama, bukan tok guru!

“Saya berasa sedih dengan kenyataan-kenyataan pemimpin PAS juga yang menyatakan tanah adat di Kelantan tidak wujud.

“Ia benar dari sudut kerajaan tetapi bagi kita Orang Asli memiliki istilah tersebut – inilah yang perlu dibincang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan borang keahlian kemasukan 230 masyarakat Orang Asli di Kg Parik, Kuala Betis, Gua Musang.
Justeru, tuntutan ke atas pemuliharaan dan memartabatkan hak tanah adat memerlukan kesungguhan politik.

Beliau menyeru supaya masyarakat orang Asli bangun dan sedar hanya melalui perubahan politik, perjuangan menuntut hak tanah adat boleh direalisasikan.

“Penglibatan saya dalam politik adalah secara sedar. Kita lihat Orang Asli perlu berubah kerana keadaan di Malaysia membimbangkan.

“Sebagai anak muda mewakili Orang Asli saya terfikir kita perlu terlibat dalam politik untuk jatuhkan UMNO dan PAS di Kelantan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” tegas Nasir.

Beliau pada masa yang sama mengingatkan parti-parti politik khususnya Pakatan Harapan (HARAPAN) supaya melaksanakan manifesto untuk mengiktiraf tanah adat Orang Asli.

“Bukan senang untuk tarik sertai PH. Kerana saya kata kita dah ada manifesto. Jika PH perintah Kelantan, kerajaan negeri akan iktiraf tanah-tanah adat. Kita jarap manifesto itu bukan janji manis seperti UMNO-BN.

“Saya menyeru komuniti saya menyokong PH. Bagi Gua Musang, tak kira siapa nak bertanding (parti-parti HARAPAN), kita akan menyokong 100 peratus tapi dengan syarat, selesaikan isu tanah adat.

“Saya yakin pimpinan (HARAPAN) hari ini ada jiwa bantu Orang Asli dan saya cabar pimpinan kalau betul nak bantu kaum minoriti seperti kami maka kita menaruh harapan,” katanya lagi. – Roketkini.com