Berita

Zainal Rahim, jangan ugut penjawat awam – DAP

Pengerusi Biro Buruh DAP, A. Sivanesan meminta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman agar berhenti mengugut penjawat awam untuk mengundi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai berkata, Zainal Rahim tidak sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan yang sangat mengelirukan kerana kesetiaan penjawat awam adalah kepada ‘government of the day’ atau kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Ikrar Aku Janji penjawat awam di bawah Peraturan 4(1) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bukan bermakna kakitangan kerajaan perlu menyokong BN.

“Sama seperti hak-hak pengundi yang lain, undi penjawat awam adalah rahsia, mengikut lunas-lunas demokrasi dan tidak hanya tertakluk kepada parti pemerintah semata-mata dengan mereka turut bebas mengundi parti pembangkang,” katanya kepada Roketkini.

Sivanesan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Zainal Rahim yang dipetik sebagai berkata, penjawat awam perlu menghargai kerajaan sedia ada yang telah melakukan pelbagai penambah baikan dalam sektor perkhidmatan awam.

Menurut Zainal Rahim, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan pelbagai manfaat kepada penjawat awam seperti kenaikan gaji, pangkat, pelaksanaan cuti rehat khas, kemudahan cuti umrah, kemudahan cuti bersalin serta pemberian bayaran khas sebanyak RM1,500.

Mengulas lanjut, ujar Sivanesan, kontrak perkhidmatan kakitangan awam juga sama seperti pekerja swasta yang jelas mengatakan pekerja hanya perlu mematuhi arahan majikan (kerajaan) semasa tempoh 8 jam bekerja dan tidak pernah menggariskan terma-terma wajib untuk mengundi BN.

Tambah beliau, semua pihak harus menolak kenyataan Zainal Rahim ini dan DAP memberi jaminan bahawa kakitangan kerajaan bebas untuk mengundi sesiapa jua yang mereka mahukan pada pilihan raya umum akan datang kerana hak tersebut dijamin oleh Perlembagaan Malaysia.

“Kami terima banyak aduan di kalangan guru yang mendakwa telah diugut akan dibuang atau dikenakan tindakan jika mengundi pembangkang pada pilihan raya umum ke-14.

“Jangan takut, jika ada mana-mana penjawat awam yang ditekan, diugut atau dikenakan tindakan kerana tidak mengundi BN, kami sedia dan bersiap siaga membela anda,” tambah beliau.

Ujarnya, DAP akan memberi perkhidmatan guaman secara percuma demi menegakkan proses demokrasi dan membela nasib kakitangan kerajaan. – Roketkini.com