Berita

DAP mahu lantik Orang Asli sebagai Timbalan Menteri, mansuh JAKOA

DAP menyokong penuh cadangan memansuhkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang akan digantikan dengan penubuhan Lembaga Wakaf Orang Asli diketuai wakil masyarakat Orang Asli sendiri.

DAP juga akan mencadangkan supaya wakil Orang Asli dilantik sebagai Timbalan Menteri sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) berjaya menubuhkan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya ingin menyatakan sokongan penuh terhadap pemansuhan JAKOA dan digantikan dengan sebuah badan yang diketuai oleh Orang Asli sendiri agar menjadi peneraju mengetengahkan Orang Asli dalam pembangunan arus perdana Malaysia,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Beliau berkata demikian selepas menerima “Permintaan Orang Asli Daripada Pakatan Harapan (Apabila Menjadi Kerajaan)” daripada wakil Orang Asli Semai, Narbi bin Mat ketika mengadakan sesi dialog di Kg Sungai Lenjang, Pos Menson, Cameron Highlands semalam.

Permintaan itu menyebut: “Orang Asli meminta kerajaan untuk memansuhkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ini kerana banyak masalah/perkara yang di rujuk kepada JAKOA tidak diselesaikan. Kami juga berpendapat bahawa JAKOA tidak ada kepentingan Orang Asli dalam urusan mereka. Kami mahu kerajaan menubuhkan satu Lembaga Wakaf Orang Asli (Orang Asli Endowment Board) yang dianggotai oleh perwakilan Orang Asli untuk menjaga hak-hak Orang Asli, dan juga menyelesaikan isu-is Orang Asli.”

Menurut Kit Siang, setelah 60 tahun, kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) terbukti gagal menghadirkan perwakilan masyarakat Orang Asli untuk memegang pelbagai jawatan dalam JAKOA.

Malah sehingaa saat ini katanya, bilangan Orang Asli yang memegang jawatan senior dalam JAKOA dan perkhidmatan awam lain terlalu sedikit.

“Berdasarkan jawapan parlimen sebelum ini, daripada 998 kakitangan JAKOA, hanya 111 merupakan Orang Asli.

“Daripada jumlah itu, hanya seorang dalam jawatan ‘pegurusan dan profesional’ manakala selebihnya di bawah kumpulan sokongan,” katanya.

Jumlah penglibatan Orang Asli dalam perkhidmatan awam secara keseluruhannya pula ialah 1,352 orang dan hanya 172 berada dalam kumpulan pengurusan dan professional yang kebanyakannya berada dalam perkhidmatan perguruan.

“Ini merupakan perkara yang amat memalukan setelah enam dekad bercakap tentang kemajuan dan pembangunan Orang Asli.

“Sebab itu, DAP akan ke hadapan dan mencadangkan perkara ini kepada Pakatan Harapan sekiranya berjaya mengambilalih Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya lagi.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ahli Parlimen Ipoh Timor, Thomas Su; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Leong Ngah-Ngah; Adun Bilut, Chow Yu Hui; Adun Ketari, Lee Chin Chen; Penolong Setiausaha Wanita DAP, Young Syefura (Rara); Penolong Setiausaha Organisasi DAP,  Vincet Wu dan Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M.Manogaran. – Roketkini.com