Berita

Kit Siang palu gendang perang melawan berita palsu

Berbeza dengan seruan yang selalu digunakannya – “Are you ready for change?”, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang semalam bertanyakan sesuatu yang amat berbeza kepada warga Subang Jaya.

“Are you ready for war? (anda bersedia untuk perang)” soalnya di forum ‘GE14: Battle of Fake News’ menjelang perang berita palsu di ambang pilihanraya umum yang disebut-sebut sebagai paling kotor dalam sejarah negara.

Bagi Ahli Parlimen Gelang Patah itu, berita palsu kini merupakan kebimbangan paling besar bagi seluruh rakyat Malaysia.

Kit Siang turut mengambil peluang semalam, memberitahu hadirin tentang dakwaan palsu terbaru tentang dirinya, seperti yang disiarkan sebuah laman blog ‘The Third Force’.

“(Blog ini mendakwa) Lim Kit Siang telah menerima dana daripada Robert Kuok. Berani betul orang ini.

“(Kononnya) Dana pasca PRU ke-13 ini adalah berjumlah RM100 juta,” ujarnya, disambut gelak ketawa hadirin.

Sebelum ini, Kit Siang didakwa menerima sejumlah RM1bilion daripada Tun Dr Mahathir, dan juga jumlah yang sama daripada Israel. Beliau justeru berseloroh mahu mengadu kepada Robert Kuok, kerana hanya memberi RM100 juta sahaja.

“Mana cukup?” kata beliau, mencuit hati hadirin yang memenuhi Skydeck Summit USJ semalam.

Katanya lagi, blog tersebut juga mendakwa bahawa beliau merupakan seorang evangelis yang bertanggungjawab ke atas aktiviti sekumpulan evangelis radikal, yang merencana aktiviti bagi mencetuskan perbalahan di antara warga Cina dengan orang Islam ni negara ini.

“Mungkin saya sahaja dalam dunia ini yang boleh menjadi seorang evangelis, tanpa menganut agama Kristian,” tambahnya, disambut hilai tawa orang ramai.

Hari ini, Kit Siang justeru ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk membuat laporan terhadap tulisan blog terbabit.

Pada sidang media tengah hari tadi, beliau menegaskan bahawa berita palsu adalah ancaman terbesar kepada keamanan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia kerana ia digunakan untuk melanjutkan kepentingan politik parti kerajaan.

Menjelang Pilihanraya Umum ke-14 tidak lama lagi, lebih banyak berita dan maklumat palsu dijangka akan disebarkan bagi mengelabui mata rakyat daripada skandal terkait 1MDB serta salah urustadbir oleh kerajaan Barisan Nasional. – Roketkini.com