Berita

UMNO semakin hilang pengaruh di kawasan Felda

Siapa sangka, jika selama ini kawasan Felda dianggap sebagai kubu kuat UMNO, kini, pengaruh parti itu semakin terhakis.

Bermula daripada kelemahan urus tadbir sehinggalah skandal-skandal kewangan yang menyelubungi Felda Global Ventures (FGV), warga peneroka mula menunjukkan peralihan angin menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun penyokong UMNO tidak menyatakan sokongan mereka secara langsung kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), tidak bermakna mereka akan terus setia kepada parti tersebut.

“Jika menyatakan sokongan pada pembangkang ada yang berfikir mereka akan kehilangan jawatan yang mereka dapat, tidak mendapat bantuan subsidi seperti baja, bantuan, elaun dan banyak perkara lagi.

“Tetapi berdasarkan gerak kerja kita di kawasan akar umbi, walaupun mereka dalam UMNO tetapi mereka tidak menolak untuk menunggu masa yang sesuai untuk melakukan perubahan,” katanya lapor FreeMalaysiaToday.

Perkara itu berlaku memandangkan ramai penyokong UMNO khuatir mungkin hilang jawatan dan bantuan yang diterima selama ini.

Bagaimana pun, gerak kerja PPBM Johor mendapati sokongan kepada parti selain UMNO di penempatan Felda telah berubah dan semakin diterima baik.

Ahli Parlimen Pagoh berkata, jika sebelum ini pembangkang tidak dialu-alukan di kawasan Felda, situasi tersebut sudah berubah.

Warga Felda saat ini katanya semakin positif menerima kunjungan HARAPAN ke kawasan mereka.

“Kami terkejut apabila mereka sebenarnya mengalu-alukan kehadiran kami. Ini merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan Johor telah dikenali sebagai kubu kuat BN. UMNO dilahirkan di Johor jadi sentimen itu agak kuat.

“Kami juga boleh duduk semeja makan bersama imam di masjid. Mereka rasa susah disebabkan dasar kerajaan yang lemah dan rasa terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi disebabkan GST, menyebabkan mereka berbelanja lebih daripada kemampuan,” katanya lagi.

Fenomena kebangkitan warga Felda itu ujarnya turut dapat disaksikan melalui kehadiran yang menggalakkan dalam siri-siri ceramah yang dianjurkan HARAPAN.

“Di ceramah-ceramah kami ramai peneroka yang hadir. Walaupun jumlah tidak besar tetapi kami yakin mereka datang sebab sokong dan mahu berinteraksi dengan kami. Ini satu perkembangan yang positif,” katanya lagi. – Roketkini.com